Ahad, 4 Jun 2017 | 1:23am

RISDA bantu Amir jayakan bengkel motosikal


SEORANG mekanik, Amir Hamzah Kamarul, 29, membaiki motosikal pelanggannya setelah menerima bantuan mesin bernilai RM10,000 bagi memajukan bengkelnya setelah dipilih menyertai Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) anjuran RISDA di Tanjong Erat, Lubok Stol. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

RANTAU PANJANG: Memiliki bengkel motosikal hasil bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA), membakar semangat seorang anak muda mengejar impian sebagai usahawan berjaya.

Hasil bantuan yang diterima itu digunakannya mengembangkan bengkel yang kini semakin dikenali ramai.

Bengkel Amir milik Amir Hamzah Kamarul, 29, yang terletak di Tanjong Erat, Lubok Stol, di sini, dilengkapi mesin dan peralatan membaiki motosikal hasil bantuan RISDA, sehingga menjadi tumpuan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatannya.

Amir dipilih menyertai Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) anjuran RISDA dan menerima bantuan mesin serta peralatan membaiki motosikal bernilai RM10,000 bagi memajukan bengkelnya, pada Ogos 2016.

Katanya, bantuan itu membuka peluang pekerjaan buatnya di samping dapat menjamin masa depan yang lebih baik kerana memiliki perniagaan sendiri dalam bidang mekanik.

"Saya sebenarnya sudah mula aktif sebagai mekanik sejak 2014 namun secara kecil-kecilan di sebuah bengkel tanpa peralatan cukup kerana tiada modal.

"Alhamdulillah, dengan bantuan dan sumbangan daripada RISDA ini dapat menyelesaikan masalah saya sekali gus menyuntik semangat untuk lebih berusaha dan berjaya.

"Banyak perbezaan yang dapat dilihat selepas saya menerima bantuan ini. Selain mendapat pendapatan yang lebih lumayan, hasil kerja saya untuk membaiki motosikal pelanggan juga lebih cepat dan berkualiti," katanya ketika ditemui di bengkelnya di sini.

Anak kedua tujuh beradik ini mengakui mula belajar membaiki motosikal sejak berusia 13 tahun dan pernah melakukan pelbagai pekerjaan sebelum memberi fokus kepada bidang mekanikal.

"Semoga bantuan seperti ini membantu anak muda lain untuk berjaya dalam bidang diceburi," katanya.

INFO

# Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang.

# Pernah bekerja sebagai tukang jahit, pengawal keselamatan dan kerani syarikat swasta 

73 dibaca
Berita Harian X