Ahad, 4 Jun 2017 | 2:07pm

Pak Nil dilamar melalui nota pelekat

DATUK Aznil Nawawi. - Foto Luqman Hakim Zubir
DATUK Aznil Nawawi. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi berkongsi cerita lucu dilamar peminat menerusi nota pelekat yang ditampal di tapak perniagaan yang diusahakannya, Bazar Paknil di Kompleks PKNS, Shah Alam, baru-baru ini.

Aznil berkata, nota pelekat itu ditampal seorang wanita yang berkunjung ke bazar berkenaan.

"Saya terima macam-macam permintaan pengunjung. Ada yang mahukan kereta dan rumah. Manalah tahu, tiba-tiba saya jadi jutawan segera dan ada pihak yang hendak menaja, mungkin impian mereka boleh menjadi kenyataan.

"Apa yang melucukan ada individu berhasrat untuk menjadi isteri dan melamar saya melalui nota pelekat di papan kenyataan itu, " katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, bekas pengacara program realiti Akademi Fantasia (AF) ini berkata, selain terbabit dengan rakaman program baharu, Ring Ring Ringgit, dia giat mempromosikan Bazar Paknil.

"Ketika mula-mula memperkenalkan tapak perniagaan itu, ramai yang skeptikal. Ada yang menyangka saya hanya menggunakan nama saja. Bagaimanapun, saya cuba buktikan dengan turun padang dan melakukan pelbagai aktiviti serta promosi besar-besaran di laman sosial.

"Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Ramai pula yang berminat berniaga di Bazar Paknil pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X