Selasa, 6 Jun 2017 | 10:01pm

Lelaki ditemui mati dengan kesan tetakan


ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemui mati dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan leher di tepi jalan Kilometer 6, Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Taman Kledang Emas, Taman Rishah. - Foto Farah Suhaidah Othman

IPOH: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan di tepi jalan di Kilometer 6, Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran Taman Kledang Emas, Taman Rishah di sini, pagi tadi.

Mayat S Ganasan, 30, ditemui oleh orang awam pada jam 11.06 pagi itu dengan kesan tetakan di kepala, leher serta kedua-dua tangan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata siasatan awal mendapati mayat mangsa ditemui lima meter dari jalan besar oleh orang awam dalam keadaan terlentang.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk menetak mangsa.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan petang tadi mendapati punca kematian mangsa disebabkan pendarahan berlebih akibat luka tetakan di bahagian leher.

"Semakan mendapati mangsa mempunyai lima rekod jenayah lampau iaitu tiga membabitkan jenayah dan dua lagi dalam kes dadah," katanya ketika dihubungi.

Chang Keong berkata, susulan kejadian itu polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun bagi membantu siasatan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X