Rabu, 7 Jun 2017 | 8:53am

Kanada ambil peranan AS di pentas dunia

MENTERI Luar Kanada, Chrystia Freeland. - Foto Reuters

OTTAWA: Kanada dijangka memainkan peranan lebih besar di peringkat dunia, ketika Amerika Syarikat (AS) mengehadkan campur antarabangsanya, kata Menteri Luarnya, Chrystia Freeland, semalam.

Kenyataan itu menunjukkan ketegangan di antara Washington dan sekutu paling rapatnya itu.

Freeland membuat kenyataan itu selepas persidangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan G7 baru-baru ini, apabila Presiden Donald Trump mengecewakan pemimpin dunia sehingga Canselor Jerman, Angela Merkel mempersoalkan sama ada AS boleh diharapkan atau tidak.

Freeland juga mengesahkan nilai hubungan dua hala dengan AS, sekutu paling rapat Kanada sejak 70 tahun lalu turut dipersoalkan.

Katanya, perhubungan itu mungkin terjejas.

"Rakan dan sekutu kita mempersoalkan nilai kepimpinan globalnya, keadaan ini mewujudkan keperluan untuk kita menentukan hala tuju lebih jelas. Kanada perlu memainkan peranan baharu yang lebih kukuh dengan kerjasama pelbagai negara, " katanya.

Trump yang dipilih atas janji beliau meletakkan kepentingan 'Amerika dahulu' mendakwa NATO tidak membayar sumbangan perbelanjaan ketenteraan dan kemudian mengumumkan pentadbiran beliau menarik diri daripada perjanjian perubahan iklim Paris.

Beberapa jam selepas ucapan Freeland, pejabat Perdana Menteri Justin Trudeau berkata, beliau berhubung dengan Merkel dan mengesahkan komitmen kedua-dua negara itu kepada hubungan pelbagai negara dan usaha menangani perubahan iklim.

"Pemimpin utama dunia bersetuju untuk bekerjasama lebih rapat dengan pihak sependapat bagi melaksanakan perjanjian Paris," kata satu kenyataan pejabat Trudeau.

Freeland memaklumkan parlimen bahawa Kanada akan cuba 'meraih kepimpinan' dalam forum hubungan pelbagai negara seperti Kumpulan Tujuh Negara Ekonomi Termaju Dunia (G7), Forum Antarabangsa Kerajaan dan Gabenor Bank Pusat 20 Ekonomi Utama Dunia (G20), NATO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Reuters

Berita Harian X