Rabu, 7 Jun 2017 | 12:33pm

JKM timbang bantuan sesuai untuk 8 beranak daif

SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mempertimbangkan bantuan yang sesuai kepada lapan beranak yang ditemui dalam keadaan daif di Kampung Blok A, Ampangan di sini, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hapil, berkata ketika ini, bantuan yang dilihat sesuai untuk bapa tunggal dan tujuh anak berusia antara tujuh sehingga 19 tahun itu adalah Bantuan Kanak-Kanak.

"Kita akan mempertimbangkan bantuan ini selepas semua urusan mengenai keluarga ini selesai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Lapan beranak berkenaan ditemui ketika Jabatan Imigresen dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengadakan operasi untuk menahan pendatang tanpa izin (PATI) di Ampangan, kira-kira jam 3 pagi semalam.

Kakitangan agensi berkenaan terkejut apabila menemui pekerja kontrak, Majid Abul, 51, bersama tujuh anaknya dalam sebuah rumah sewa yang tidak terurus, termasuk ada anaknya tidur di atas lantai.

Kakitangan JHEAINS kemudian membuat laporan penemuan keluarga itu kepada beberapa agensi berkaitan, termasuk JKM dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Mohamad berkata, ketika ini keluarga itu ditempatkan sementara di Kompleks As-Saadah milik MAINS yang mempunyai kemudahan asrama dan JKM akan memantau keluarga berkenaan termasuk tujuh kanak-kanak itu mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

"Pemantauan oleh Pegawai Pelindung JKM bertujuan memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin, terutama ketika bapa mereka bekerja," katanya.

Berita Harian X