Rabu, 7 Jun 2017 | 1:13pm

KM Arau bantu tingkat kawalan perairan Sabah


Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som. - Foto NSTP/Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Penambahan aset baharu Kapal Maritim (KM) Arau, mampu membantu meningkatkan kawalan keselamatan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata KM Arau yang berlepas dari Jepun, tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar, pagi tadi.

Katanya, penambahan aset baharu itu adalah satu lagi usaha kerajaan meningkatkan mutu kawalan keselamatan di negeri ini.

"Penambahan aset baharu ini sudah pasti mampu memperbaiki kekurangan dalam melaksanakan pemantauan keselamatan, khususnya di pantai timur Sabah.

"Kapal ini akan berpangkalan di Kota Kinabalu namun bersiap siaga untuk semua penugasan di seluruh perairan negeri, termasuklah pantai timur," katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan KM Arau di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Memerintah KM Arau, Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim dan Pengarah APMM Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz.

KM Arau mengambil masa selama seminggu belayar dari pelabuhan Habu Innoshima, Jepun sebelum tiba di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Kapal sepanjang 87 meter dengan kapasiti 993 tan itu dijana menggunakan dua jentera utama, selain tiga generator.

Mohd Zubil berkata, kapal berkenaan adalah pemberian kerajaan Jepun berikutan jalinan hubungan yang baik sejak penubuhan APMM di negara ini.

"Mereka juga banyak memberikan kerjasama dan tunjuk ajar dalam pelbagai aspek membabitkan soal keselamatan.

"KM Arau juga adalah kapal peronda dan penguatkuasaan kedua terbesar milik APMM selepas KM Pekan," katanya.

Berita Harian X