Rabu, 7 Jun 2017 | 10:13pm

500 asnaf dirai, terima sumbangan


DATUK Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada majlis Nur Ramadan di Masjid Ar-Rahimah hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kesinambungan program Nur Ramadan, tahun ini diteruskan dengan penyaluran bantuan kepada golongan asnaf dan meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa.

Seramai 500 asnaf dari Parlimen Titiwangsa, hari ini menerima RM150 setiap seorang, selain 10 kilogram (kg) beras dan dua kg gula sumbangan Yayasan Al-Bukhary.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata program yang dianjurkan sejak 2010 itu adalah wadah merapatkan silaturahim antara masyarakat dan kepemimpinan kerajaan.

Katanya, pelaksanaan Nur Ramadan tidak pernah sepi daripada kerjasama strategik dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Al-Bukhary dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

"Yayasan Wilayah Persekutuan juga berbesar hati memberi sumbangan kepada masjid atau surau yang menganjurkan program ini sebanyak RM30,000 bagi menaik taraf kemudahan dan projek pembangunan untuk manfaat kariah.

"Mudah-mudahan sumbangan ini berupaya memberi sinar kebahagiaan kepada golongan memerlukan dan kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Titiwangsa.

"Sumbangan ini juga diharap mampu menampung persediaan mereka menyambut Aidilfitri," katanya pada ucaptama perasmian Nur Ramadan, di sini sebentar tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Tengku Adnan berkata, program yang menjadi jambatan mengukuhkan perpaduan kaum itu penting untuk memelihara keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

"Tanpa perpaduan kaum, rakyat akan saling bertelingkah hingga menjejaskan keamanan negara dan mencetuskan suasana kehidupan yang porak-peranda.

"Sehubungan itu, penganjuran inisiatif untuk memperkasa perpaduan kaum adalah teras yang perlu sentiasa mempunyai kesinambungan, selari peredaran semasa," katanya.

79 dibaca
Berita Harian X