Rabu, 7 Jun 2017 | 10:38pm
JURULATIH skuad B-22 , Datuk Ong Kim Swee.
JURULATIH skuad B-22 , Datuk Ong Kim Swee.

4 pemain skuad B-22 digugur

KUALA LUMPUR: Empat daripada 26 pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara diketepikan daripada aksi persahabatan di China akibat masalah kecederaan.

Jurulatih skuad itu, Datuk Ong Kim Swee yang mengumumkannya malam ini berkata, lima pemain yang digugurkan ialah Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Danial Ashraf Abdullah, Ariff Farhan Md Isa dan Mohamad Raphi Azizan Mariappen.

Berikutan itu, Kim Swee hanya membawa 22 pemain ke China, esok.

Terdahulu, Kim Swee mengakui banyak kelemahan perlu diperbaiki selepas menilai sepenuhnya prestasi permainan anak buahnya pada aksi perlawanan persahabatan dengan FELDA United FC di Wisma FAM, malam tadi.

Justeru, beliau berharap tiga aksi persahabatan di China dapat memperbaiki kelemahan itu.

"Banyak kelemahan yang kita dapati dan ini perlawanan pertama selepas berlatih tujuh hingga lapan hari. Banyak yang perlu saya lihat terutama apabila kita ke China untuk perbaiki kelemahan yang ada.

"Pertama kesilapan mudah, ini amat membimbangkan yang mana gol yang kita bolos adalah kesilapan kita sendiri dan beberapa hantaran ke belakang yang tidak tepat dan ini perkara yang serius.

"Pemain harus tahu mereka tidak boleh melakukan kesilapan terutama di peringkat antarabangsa yang boleh memberi peluang mudah kepada pihak lawan," katanya.

Pada perlawanan itu, skuad B-22 negara sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan FELDA United.

Skuad Projek Sukan SEA itu akan terbang ke Xiangtan, China, esok untuk menghadapi perlawanan persahabatan pertama menentang skuad B-22 China pada 10 Jun.

Mereka akan terbang ke Guangzhou, China pada 11 Jun untuk baki dua lagi aksi persahabatan bertemu skuad simpanan Guangzhou R&F pada 13 Jun dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande pada 15 Jun sebelum kembali ke tanah air pada 16 Jun.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X