Khamis, 8 Jun 2017 | 2:53pm

SPRM ke FGV ambil dokumen

BEBERAPA pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di lobi Menara Felda pagi ini untuk menyiasat dan mengambil dokumen berkaitan siasatan terhadap urusniaga tertentu oleh anak syarikat FGV Delima Oil Produk Sdn Bhd.
BEBERAPA pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di lobi Menara Felda pagi ini untuk menyiasat dan mengambil dokumen berkaitan siasatan terhadap urusniaga tertentu oleh anak syarikat FGV Delima Oil Produk Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR: Sepasukan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat memasuki bangunan Menara Felda, di Jalan Persiaran KLCC, di sini, susulan isu membabitkan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) ketika ini.

Sepasukan 20 pegawai dan anggota SPRM itu tiba di pekarangan bangunan itu, yang menempatkan ibu pejabat FGV pada 10 pagi tadi dan kemudiannya naik ke pejabat berkenaan.

Mereka turut dilihat membawa beg dokumen. Difahamkan, pasukan SPRM itu mahu mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad yang ditempatkan di tingkat 45 bangunan terbabit dan dijangka selesai pada 3 petang.

Sekumpulan empat pegawai SPRM lain tiba di pejabat berkenaan pada 1.30 tengah hari, dengan seorang daripada mereka turut membawa beg dokumen.

Semalam, Zakaria tampil di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV untuk memberi keterangan.

Pada Selasa, Zakaria dan tiga lagi pegawai pengurusan kanan FGV dan anak syarikatnya diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim, dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar telah diminta bercuti.

FGV memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Zakaria akan bercuti sementara menunggu hasil siasatan pelbagai urus niaga yang dijalankan oleh anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Zakaria dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FGV pada 1 April tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X