Khamis, 8 Jun 2017 | 5:17pm

466 permohonan MyDaftar dalam seminggu

NUR Jazlan (kanan) menyampaikan bag penyerahan MyKad kepada Posmen selepas merasmikan Majlis Perasmian Hab Percetakan Teragih Jabatan Pendaftaran Negeri Johor bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran (Pengurusan), Zamari Ibrahim (tengah) di Jabatan Pendaftaran Negeri Johor. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 466 permohonan MyDaftar sejak pelancarannya 3 Jun lalu.

MyDaftar ialah program bertujuan mempertimbangkan permohonan rakyat berketurunan India yang mendakwa menghadapi masalah dokumentasi pengenalan diri yang dilancarkan pada 3 Jun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata angka itu dijangka terus meningkat sehingga program pendaftaran masyarakat India memiliki dokumen pengenalan diri berakhir 26 Jun ini.

Bagi memudahkan urusan orang ramai, katanya, pendaftaran boleh dibuat secara berkelompok di 23 pejabat JPN yang disenaraikan di seluruh negara bagi membantu golongan sasar tidak memiliki dokumentasi pengenalan diri, selain tuntutan ke atas warga negara Malaysia.

"Ini usaha kerajaan menyelesaikan masalah mereka yang belum mendapat status dokumentasi sama ada pemastautin tetap atau warga negara walaupun ada yang sudah tinggal di negara ini berpuluh tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hab Percetakan Teragih Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Nur Jazlan turut meminta ibu bapa mendaftar kelahiran anak mereka dalam tempoh 60 hari bagi mengelak didenda atau menimbulkan pelbagai masalah berbangkit berkaitan termasuk status warga negara.

Berita Harian X