Khamis, 8 Jun 2017 | 10:00pm

Karya 'Allahu Akbar' dijual RM65,000


PAMERAN Lukisan FAITH di Galeri Prima Balai Berita Bangsar. - Foto Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Karya pelukis kontemporari tempatan, Fadhli Yusoff, bertajuk 'Allahu Akbar' menjadi karya pertama terjual pada harga RM65,000 pada pameran eksklusif Kontemporari Seni Islam di Galeri Prima, Balai Berita, di sini.

Lukisan dihasilkan awal tahun ini dan siap tiga hari sebelum pameran, memaparkan dua lambang kesucian dan keutuhan Islam di negara ini iaitu Tengkolok Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan kalimah 'Allahu Akbar' yang bermaksud Allah Maha Besar.

Lukisan berkenaan ialah satu daripada 65 karya seni pelukis kontemporari Islam tempatan bertemakan 'Iman', yang dipamerkan sempena ulang tahun pertama pembukaan Galeri Prima bermula 29 Mei hingga 28 Julai ini.

Pengarah Galeri Artcube, Azhar Ahmad, berkata pihaknya bekerjasama dengan Galeri Prima menjemput hampir 20 pelukis seni kontemporari Islam tempatan menjayakan projek mempamerkan lukisan termasuk kaligrafi dan ukiran yang julung kali diadakan di negara ini.

Beliau berkata, mereka yang terbabit adalah Husin Hourmain, Anniketyni Madian, Megat Zaim Zharif, Kamal Sazali, Syukur Rani, Putra Nazri, Ezwa Hasin, Fitriah Roslan, MN Hafiz Hamzah, Alif Afandi Azman, Amirul Roslan, Khairani Ahmad Zakuan, Khaliq Az Zahi, Burhanuddin Bakri, Amierul Iskandar dan Amin Harun. 

"Karya Mohd Noor Mahmud yang dikenali sebagai Mat Nor memaparkan 20 hasil kerja berdasarkan Sifat 20 akan dijual sebagai satu set pada harga RM320,000.

"Sifat 20 adalah pelajaran mengenai ciri dan sifat Allah, antaranya wujud, qidam, baqa, mukhalafathu lilhawadith, qiamuhu binafsih, wahdaniat, qudrat dan kaunuhu' aliman.

"Artis baharu, Amir Amin, mengetengahkan lukisan anatomi perempuan dan kaligrafi Jawi yang berhubung kait sebagai pelengkap jiwa, yang perlu difahami dan tidak boleh diabaikan.

"Difahamkan, idea ini timbul daripada cebisan artikel akhbar pada 2013 bertajuk 'Jawi di Ambang Kepupusan'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Seni Kontemporari Islam, Iman dan sambutan ulang tahun pertama Galeri Prima, petang tadi.

Azhar berkata, pemilihan konsep 'Iman', adalah lambang keindahan Islam dalam mengajarkan umat mengamalkan sikap kejujuran, taat, mematuhi dan menegaskan sesuatu perkara sebagai panduan dalam kehidupan.

Pada majlis sama, seramai 30 anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Anak Yatim Baitul Fitriah, Rawang diraikan bersama serta menerima sumbangan.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi Galeri Prima atau menghubungi talian 03-27248300, 013-4490344, 012-3222081 atau 011-22158133.

Berita Harian X