Jumaat, 9 Jun 2017 | 12:10pm

Kia Optima GT lebih optimum

NAZA Kia Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Kia di negara ini, memperkenalkan Kia Optima GT serba baharu bagi pasaran tempatan.

Generasi ke empat Kia Optima itu hanya boleh didapati di negara ini dalam varian GT.

Kia Optima GT ditawarkan dengan reka bentuk lebih agresif, sporty, dengan gril hadapan Dot Array Mesh Satin Chrome, bampar hadapan lebih sporty dan bampar belakang baharu.

"Apa yang anda saksikan daripada Kia ialah ekspresi prestasi dan gaya kontemporari," kata Ketua Pegawai Operasi Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George pada majlis pelancaran model terbaharu itu di Kuala Lumpur.

Kia Optima GT baharu ini menggunakan enjin petrol turbocaj Theta II 2.0 T-GDI dengan transmisi enam kelajuan yang mampu menghambur 242 kuasa kuda (hp) pada 6,000rpm dengan tork puncak 350Nm daripada hanya 1,400rpm.

Prestasi jentera ini menjadikan Kia Optima GT antara kenderaan paling berkuasa dalam kelasnya dan sebaris beberapa sedan Eropah berkuasa tinggi.

Dengan unit kuasa yang agresif, Kia Optima GT boleh memecut 0-100km/j hanya dalam 7.4 saat, manakala penggunaan bahan api pula pada 8.5 liter bagi 100 kilometer secara keseluruhan.

SAMSON Anand (kiri) dan Presiden Serantau IP/Asia, Kia Motors Corporation, Lee Soo Young pada pelancaran Kia Optima GT di Naza Tower, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Model terbaharu Kia ini diperkemaskan dengan enam beg udara, dua di hadapan, dua di bahagian sisi selain beg udara tirai.

Kia Optima GT baharu ini meraih 5 bintang pada ujian EuroNCAP; 5 bintang di Asian NCAP; 5.1 bintang di US NCAP dan meraih penarafan gred pertama di ujian Korean NCAP.

Terdapat banyak lagi ciri dalaman canggih seperti skrin TFT LCD 7-inci bagi sistem hiburan yang turut menampil ciri penyambungan MP3, MP4, Bluetooth dan iPod, antaranya.

Kia Optima GT dijual pada harga RM179,888 seunit di atas jalan termasuk insurans.

Info:
Kia Optima GT

  • Harga termasuk insurans RM179,888
  • Enjin petrol turbocaj Theta II 2.0 T-GDI
  • 242 hp @ 6,000rpm, tork puncak 350Nm daripada hanya 1,400rpm
  • 0-100km/j hanya dalam 7.4 saat
  • Penggunaan petrol 8.5 liter bagi 100 kilometer
  • Enam beg udara

CIRI dalaman yang canggih. - Foto Aswadi Alias

Berita Harian X