Rabu, 14 Januari 2015 | 1:13pm
MENTERI Pendidikan ll, Datuk Seri Idris Jusoh (dua, kanan) mendengar penerangan Pengarah Jabatan Pengairan & Saliran Negeri Terengganu, Ir. C.Poobalan (baju kuning) semasa meninjau kawasan pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terhakis akibat banjir dan ombak besar yang melanda kawasan berkenaan, baru-baru ini. Turut kelihatan, Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo (kanan). - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan ll, Datuk Seri Idris Jusoh (dua, kanan) mendengar penerangan Pengarah Jabatan Pengairan & Saliran Negeri Terengganu, Ir. C.Poobalan (baju kuning) semasa meninjau kawasan pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terhakis akibat banjir dan ombak besar yang melanda kawasan berkenaan, baru-baru ini. Turut kelihatan, Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo (kanan). - Foto BERNAMA

UMT, UKM dan Majlis Profesor kaji banjir besar

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang menjalankan kajian mengenai bencana banjir besar yang berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak baru-baru ini.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, kajian yang dikenali sebagai forensik banjir itu sangat penting untuk melihat bencana banjir besar berkenaan secara menyeluruh.

"Melalui penyelidikan dan kajian ini kami ingin melihat faktor berlakunya banjir besar dan apakah punca kemusnahan di samping melihat impak yang sebenar dari segi ekonomi, sosial serta kemusnahan alam sekitar.

"Kami mahu hasil penyelidikan ini akan menyumbang kepada kerajaan dan negara untuk menyediakan dasar dan strategi bagi mengatasi serta mengurangkan risiko banjir pada masa akan datang," katanya kepada pemberita sempena majlis Malam Apresiasi Media-UMT malam tadi.

Ibrahim berkata pihaknya akan menjalankan penyelidikan yang bermula minggu ini dengan mengkaji tiga lembangan besar iaitu lembangan Sungai Kelantan, lembangan Sungai Pahang serta lembangan Sungai Perak.

"Ini merupakan tiga lembangan sungai yang paling besar dan paling terancam yang ketiga-tiganya mempunyai ciri berbeza, tetapi kami juga melihat lembangan Sungai Besut serta Kemaman. Kami tidak akan membuat kajian terperinci di lembangan Sungai Terengganu kerana Kuala Terengganu terselamat daripada banjir besar disebabkan adanya Empangan Kenyir.

"Empangan Kenyir sebenarnya menjadi penebat kepada berlakunya banjir besar di daerah Kuala Terengganu serta daerah Kuala Nerus," kata Ibrahim.

Beliau berkata, penyelidikan yang akan dijalankan oleh lebih 15 penyelidik daripada UMT, UKM dan Majlis Profesor Negara itu dijangka mengambil mzsa hingga Mac.

"Penyelidik dibahagikan kepada empat kumpulan. Kami akan buat analisis dan interviu bagi mendapatkan fakta, pengukuran paras air, kepekatan serta tebal lumpur, dan kami akan melihat bawaan air banjir tersebut seperti kayu, sampah sarap dan dari segi sosial, tahap trauma mangsa banjir serta tahap kesihatan mereka.

"Untuk kajian ini UMT memperuntukkan sebanyak RM50,000, bagaimanapun kami turut mengharapkan peruntukan daripada UKM serta Majlis Profesor Negara dan dana-dana lain kerana kajian ini dibuat secara holistik dan ia penting," katanya.

Majlis yang menghargai pengamal media itu disertai lebih 100 wakil media daripada pelbagai agensi.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X