Rabu, 14 Januari 2015 | 1:18pm
Foto ihsan @pinographyofficial dan @amirnaufalphotography
Foto ihsan @pinographyofficial dan @amirnaufalphotography

Lisa Surihani terus cemerlang


Foto ihsan @pinographyofficial dan @amirnaufalphotography

KUALA LUMPUR: Lisa Surihani beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan bakat yang dimilikinya tidak hanya bersandarkan pada paras rupa atau populariti yang diraihnya saja.

Di awalan kerja seni lakonannya, biasalah kalau dulu berlakon keras dan sedikit macam 'kayu'.

Isteri kesayangan Yusry Abdul Halim itu menunjukkan peningkatan yang ketara sejak filem Lagenda Budak Setan pada 2010 dan menerusi filem berkenaan juga, Lisa meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23).

Beberapa filem lakonannya kebelakangan ini seperti Ombak Rindu, Saya Amat Mencintaimu (SAM) dan Istanbul Aku Datang turut mengukuhkan profil seninya.

Watak Dian dalam Istanbul Aku Datang sekali lagi menobatkannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik di (FFM) Ke-26.

Terbaru selepas Manisnya Cinta Di Cappadocia, Lisa bakal memantapkan lagi kecemerlangan trek seninya menerusi watak Aleeya Azmeen dalam filem Suamiku, Encik Perfect 10! terbitan Astro Shaw dan Global Station di pawagam mulai 22 Januari ini.

Sejujurnya Lisa tidak terlalu keterlaluan membawakan watak Aleeya, malah tanpa disedari berjaya mencipta keserasian dengan Aaron Aziz yang memegang watak Zarief Danial. Sebelum ini mereka pernah bergandingan beberapa babak dalam Ombak Rindu.

"Saya terkejut dan tak sangka apabila orang mengatakan kami berdua ada keserasian dalam filem ini. Bagi saya kerja atau komitmen yang kita buat perlu ikhlas.


Foto ihsan @pinographyofficial dan @amirnaufalphotography

"Begitu juga bila saya bergandingan bersama Beto Khusairy dalam Istanbul Aku Datang walhal saya sebelum itu tak pernah berlakon bersama.

"Saya juga percaya dinamik hubungan saya dengan Aaron yang saya panggil Abang itu berterusan dari filem sebelumnya. Dulu cinta saya kepadanya dalam Ombak Rindu bertepuk sebelah tangan tapi dalam Suamiku, Encik Perfect 10! lain pula jadinya. Kenalah tengok di pawagam kalau nak tahu.

"Selain dinamik hubungan itu, saya percaya kami masing-masing komited dan hormati dengan tanggung jawab kerja yang diberikan," katanya yang mengakui tidak membaca novel Suamiku Encik Perfect 10 sebalik berpandukan kepada skrip dan gambaran pengarah, Feroz Kadir.

Suamiku, Encik Perfect 10! dibikin sejak setahun setengah lalu. Asalnya ia mahu dihasilkan dalam format supertele bagi siaran Astro First Eksklusif tetapi selepas dipertimbangkan jalan cerita serta mutu lakonan yang bagus, ia akhirnya diangkat ke layar perak.

Selain Lisa dan Aaron, filem ini turut dibintangi Raja Ilya, Normah Damanhuri, Jasmin Hamid, Jehan Miskin.

Penghargaan gambar

* Lokasi: The Shutterism Studio

* Solekan Lisa: Othong Danish (Instagram: @iamothongdanish)

* Busana: Ezuwan Ismail (Instagram: @ezuwanismail)

* Gambar ihsan: @pinographyofficial dan @amirnaufalphotography

Berita Harian X