Sabtu, 10 Jun 2017 | 12:19pm

Amaran Misbun

Datuk Misbun Sidek ketika ditemui dikediamannya mengulas berhubung penyertaan beliau kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku Ketua Jurulatih Perseorangan. - Foto NSTP/Osman Adnan
Datuk Misbun Sidek ketika ditemui dikediamannya mengulas berhubung penyertaan beliau kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku Ketua Jurulatih Perseorangan. - Foto NSTP/Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek, memberi amaran awal kepada pemain muda negara supaya bersiap sedia dengan corak latihan radikal yang bakal diterapkannya.

Katanya, pemain muda perlu memberi sepenuh komitmen dalam latihan serta menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemain kebangsaan atau bakal berdepan risiko digugurkan.

"Mereka dibayar untuk bermain dan berlatih. Jadi, bila dibayar sudah tentu persatuan telah memberi garis panduan dan mereka tak boleh salahkan persatuan sekiranya nama mereka digugurkan.

"Setiap pemain perlu bersedia dan perlu tahu bahawa saya tidak perlukan mereka. Ini amaran daripada saya," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Misbun berkata, beliau akan menerapkan segala ilmu berkaitan strategi permainan serta kemahiran teknikal dalam kalangan pemain.

Pemain juga, katanya, perlu akur dengan setiap keputusan yang ditetapkan.

"Mereka tidak boleh duduk sana hanya sekadar menapak, lebih baik beri peluang kepada pemain lain yang benar-benar mahu sertai BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

"Peranan jurulatih penting untuk tangani pemain seperti ini," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya.

Misbun berkata, beliau bersama-sama penolongnya, Hendrawan dan Indra Wijaya akan mengenal pasti pemain muda yang berpotensi untuk menggantikan Datuk Lee Chong Wei pada masa akan datang.

Katanya, tanggungjawab mencari pengganti Chong Wei adalah tugasan yang sukar dan boleh diibaratkan seperti ''mengubah suai sebuah kediaman elit yang memerlukan penelitian khusus''.

"Pemain memang ramai tetapi pemain yang benar-benar berbakat sewaktu saya mengesan bakat Chong Wei, Roslin Hashim dan Hafiz Hashim agak sukar dikesan pada masa ini.

"Jadi saya akan lihat dahulu keadaan semasa dan berdasarkan kepada pemantauan Chong Wei . Dia adalah pemain tonggak dan sudah pasti dia tahu siapa pemain yang berpotensi untuk diasah bakat," katanya.

Misbun adalah individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei sehingga muncul pemain perseorangan lelaki pertama memenangi semua gelaran Siri Super dan meraih gelaran berprestij, termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X