Rabu, 14 Januari 2015 | 3:04pm

UMT jalankan ekspedisi saintifik Selat Melaka selama dua bulan

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menjalankan ekspedisi saintifik Selat Melaka selama dua bulan menggunakan kapal penyelidikannya, RV Discovery.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, pelayaran saintifik yang akan bermula pada pertengahan Januari hingga pertengahan Mac tersebut akan bermula di Kuala Terengganu menuju ke Johor, Pelabuhan Klang, Pulau Pinang serta Langkawi, Kedah.

"Pelayaran ini akan disertai lebih 30 penyelidik dari UMT yang mana semasa pelayaran ini, penyelidik akan menjalankan kajian osenografi dan kapal ini akan singgah ke beberapa pulau dengan penyelidik akan membuat penyelaman, mengambil sampel terumbu karang dan membuat kajian kelautan.

"Kita harapkan hasil kajian penyelidikan ini akan didokumenkan yang memuatkan hasil kajian saintifik mengenai pelayaran ini. Ekspedisi ini sebenarnya bukan sepenuhnya pelayaran sebab kita akan berhenti di beberapa tempat untuk menjalankan kajian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ibrahim penyelidik hanya akan membuat kajian bermula di Tanjung Pelepas, Johor hingga Pelabuhan Klang disebabkan faktor musim tengkujuh yang melanda negeri-negeri pantai timur. - BERNAMA

Berita Harian X