Sabtu, 10 Jun 2017 | 6:19pm

34 gabungan belia Perak ikrar bebas rasuah

PRESIDEN Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin (lima kiri) bersama ahli Majlis Belia Negeri Perak melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Kompleks Belia dan Sukan negeri Perak, Ipoh . - Foto Abdullah Yusof
PRESIDEN Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin (lima kiri) bersama ahli Majlis Belia Negeri Perak melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Kompleks Belia dan Sukan negeri Perak, Ipoh . - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Sebanyak 34 gabungan pertubuhan di bawah Majlis Belia Negeri (MBN) Perak melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), sekali gus dilantik menjadi duta belia bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri.

Sebanyak 17 pertubuhan peringkat negeri termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Briged Putra dan Gerakan Belia 4B, selain 17 lagi pertubuhan membabitkan MBN di peringkat daerah.

Presiden MBN Perak, Aswanuddin Hariffudin berkata, lafaz ikrar berkenaan dilakukan atas inisiatif pihaknya sendiri bagi memupuk kesedaran pembudayaan integriti dan membanteras gejala rasuah dalam kalangan belia negeri.

Katanya, selain melafazkan ikrar integriti, kepimpinan belia negeri turut berbesar hati dilantik sebagai duta belia bagi badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan kempen bebas rasuah.

"Kepercayaan Pengarah SPRM negeri di atas pelantikan duta belia menjadikan kami MBN yang pertama mendapat pengiktirafan sebegini.

"Seluruh kepimpinan MBN serta gabungan belia akan terus memberikan sepenuh komitmen untuk menjadi contoh, sekali gus menggerakkan lebih banyak program kesedaran terhadap pentingnya pembudayaan integriti serta bebas rasuah dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Melafazkan IBR MBN bersama SPRM Perak di Bilik Seminar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah SPRM negeri, Datuk Noraaziah Abdul Manaf.

Sementara itu, Noraaziah berkata beliau menyokong penuh terhadap komitmen yang diberikan MBN negeri dalam memerangi gejala rasuah.

"Budaya rasuah boleh ditangani sekiranya semua pihak bekerjasama dengan SPRM," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X