Sabtu, 10 Jun 2017 | 8:58pm

Skim khas tentera, veteran diumum bulan depan

 MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein  (tengah) diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) menyampaikan cek bayaran insentif khas insurgensi pukal kepada veteran tentera, Nandakumar Krishnan di Majlis Ihya Ramadan Angkatan Tentera Malaysia dan Pesara Angkatan Tentera Malaysia di Padang Kawad Batalion ke Enam Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. - Foto Sharul Hafiz Zam

JITRA: Skim baharu untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Majlis Himpunan Raksasa Veteran di ibu negara, 31 Julai ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata skim itu adalah kaedah terbaik dalam menangani masalah dihadapi veteran tidak berpencen.

Katanya, skim itu merangkumi penyelesaian menyeluruh, telus dan terbuka dalam usaha menjaga kebajikan mereka.

"Kita mewujudkan makmal dianggotai pihak berkepentingan termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran yang mencari kaedah terbaik selama enam minggu sebelum perbincangan selesai semalam.

"Ini menunjukkan kita serius, telus dan terbuka membela mereka. Kita buat apa yang termampu. Bayangkan nak selesai masalah mereka ini dengan ekonomi tidak tentu dan kekangan bajet.

"Kita mahukan hasil terbaik supaya apa yang diumumkan betul-betul membantu lebih 100,000 veteran tidak berpencen," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ihya Ramadan di Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Kem Tok Jalai), Jitra di sini, malam ini.

Terdahulu, Hishamuddin turut menyerahkan Bayaran Insentif Khas Insurgensi kepada 30 veteran ATM.

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin berkata, pihaknya akan mengumumkan Blueprint Rumah Keluarga Angkatan Tentera bagi menyelesaikan isu kuarters, September ini.

Katanya, pihaknya mendapati ada yang tidak terbela sejak merdeka dan akan mengkhususkan kepada anggota Tentera Darat.

"Saya secara terbuka memberi harapan kepada anggota bahawa kita mempunyai rancangan terbabit yang sudah difikirkan sejak dua tahun lalu.

"Ia akan diperincikan malah satu makmal perbincangan sedang berlangsung bagi mencari kaedah terbaik sebelum diumumkan.

"Kita sudah mengenal pasti kem yang terbabit dan makmal itu turut disertai pihak industri yang akan membinanya. Kita jangka dapat selesaikan pada 2035," katanya.

Berita Harian X