Sabtu, 10 Jun 2017 | 10:45pm
JARINGAN tunggal Xiang Bai Xu
JARINGAN tunggal Xiang Bai Xu

Pemain 'tidur' punca kalah

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara memulakan kempen persahabatan di China dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada skuad B-22 China pada aksi di Stadium Pusat Sukan Xiangtan, sebentar tadi.

Lebih mengecewakan, jaringan tunggal menerusi Xiang Bai Xu seawal minit pertama perlawanan berpunca daripada kelalaian pemain.

Ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui kealpaan pemainnya pada awal permainan menjadi antara punca kekalahan, namun tetap berpuas hati dengan persembahan ditampilkan skuad bimbingannya.

"Saya menjangkakan perlawanan yang sukar buat kami tapi kedua-dua pasukan bermain dengan baik," kata Kim Swee ketika sidang media selepas perlawanan.

"Begitupun, kami 'tidur' pada minit pertama perlawanan dan melepaskan gol. Secara keseluruhan, pemain beraksi dengan baik terutama pada babak kedua tetapi kami gagal menjaringkan gol penyamaan."

Kim Swee berkata, masih ada banyak aspek perlu diperbaiki dan beliau berpuas hati apabila sistem yang diterap mampu diserap pemain.

"Pemain tampilkan karektor yang baik terutama pada babak kedua, namun akhirnya kami tetap tidak cukup baik untuk mendapatkan gol. Saya percaya jika ia berlaku, ia mampu mengubah keputusan permainan."

Pada Mac lalu, skuad muda negara itu ketika di bawah bimbingan Frank Bernhardt pernah mengikat B-23 China 1-1 ketika saingan Piala Dubai 2017, namun Kim Swee menjangkakan tentangan lebih sengit oleh China di laman sendiri.

Selepas skuad B-22 China, Malaysia dijadual mengharungi dua lagi aksi persahabatan bertemu Guangzhou R&F, Selasa ini dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande pada 15 Jun.

Selain menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), bulan depan, Kim Swee juga bakal mengetuai pasukan ini pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Berita Harian X