Rabu, 14 Januari 2015 | 3:37pm
SALAH satu kejohanan terbesar sukan pelayaran di Malaysia, Royal Langkawi International Regatta yang berlangsung ketika ini di Pulau Langkawi. - Foto Goh Thean Howe
SALAH satu kejohanan terbesar sukan pelayaran di Malaysia, Royal Langkawi International Regatta yang berlangsung ketika ini di Pulau Langkawi. - Foto Goh Thean Howe

MYA gesa pelayar negara perkemas kefahaman undang-undang sukan pelayaran

KUALA LUMPUR: Pelayar negara disaran agar berusaha untuk memahami undang-undang berkaitan sukan terbabit.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata ini bagi memudahkan mereka menghadapi situasi sekiranya timbul konflik berkaitan perundangan sukan itu.

Beliau berkata disebabkan tidak memahami undang-undang sukan tersebut, ada pelayar negara yang terlepas peluang untuk bergelar juara atau menggenggam pingat emas dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Ini kerana mereka gagal mempertikaikan keputusan juri atau menyangkal bantahan peserta lain walaupun mereka berjaya menduduki tempat pertama dalam perlumbaan.

"Oleh itu kita perlu memperkemas ilmu pengetahuan pelayar negara jika ingin mereka pergi jauh lagi dalam sukan pelayaran," katanya kepada Bernama.

Mohd Afendy berkata usaha itu perlu dilakukan kerana Malaysia mempunyai ramai pelayar muda berbakat yang berkemahiran tinggi dalam mengendalikan perahu layar, namun masih kurang mahir dalam undang-undang sukan perahu layar.

Beliau berkata MYA turut mengendalikan kelas undang-undang yang boleh disertai para pelayar.

"Kita di MYA termasuk jurulatih dan saya sendiri memberi tumpuan khusus dengan mengadakan kelas khas kepada pelayar muda agar mereka dapat memahami dan menguasai secara mendalam peraturan dan undang-undang kejohanan sukan perahu layar sebelum turun ke laut," katanya.

Pencapaian Malaysia dalam sukan pelayaran di peringkat Asia adalah memberangsangkan.

Misalnya para pelayar negara membawa pulang sebutir emas dan dua perak pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lepas.

Pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, Malaysia turut membawa pulang emas, begitu juga di Sukan Asia 2006 Doha. - Bernama

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X