Rabu, 14 Januari 2015 | 3:40pm

Fattah sertai drama Cinta Ibadah semula?


Pelakon, Fattah Amin. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Dua tahun tempoh menyertai persada seni, bakat Fattah Amin kian diperhatikan.

Biar ada yang mempertikaikan lakonannya macam kaku dan 'kayu' awalan kerjaya seni dulu, jejaka tinggi lampai ini percaya semua itu satu proses yang mematangkan.

Akui Fattah yang melangkah ke dunia glamor dengan menjuarai pertandingan Hero Remaja 2012 itu, beliau sedar sebagai bakat baru yang belum pernah terdedah dengan dunia lakonan, peluang yang diterima akan cuba digalas sebaik mungkin.

Jadi tidak hairan di sebalik yang mempertikaikan mutu lakonannya, Fattah merancakkan lagi perkembangan bakat baru di arena seni. Namanya bolos untuk pencalonan awal kategori Artis Baharu Lelaki Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014.

"Saya sedar apabila ada yang mengkritik lakonan bererti mereka sedar kehadiran saya. Cuma sebagai bakat baru saya terus dihukum sedemikian rupa. Tapi saya anggap itu ruang untuk terus memperbaiki sekali gus mengasah bakat lakonan.

"Ada beberapa deretan drama lakonan saya seperti Nasuha dan Bencinta yang akan disiarkan di kaca TV tak lama lagi. Saya harap deretan drama ini sebagai peluang untuk membuktikan bakat dan menebus maruah sebelum ini," katanya.

Ditanya mengenai pencalonan awal di ABPBH 2014, Fattah sendiri tidak menyangka namanya akan bolos untuk pencalonan awal kategori berkenaan.

"Saya mengharapkan yang terbaik. Siapa tahu dapat ke top 5," katanya ringkas.

Ketika ini Fattah sedang melunaskan drama Nasuha terbitan Zeel Production di samping Tasha Shilla dan Shah Iskandar untuk slot Ratu TV9.

Ia drama kedua Fattah bersama produksi itu selepas drama Bencinta yang turut menjalani penggambaran di Kuwait bagi siaran Tv3.

Tahun lalu Fattah turut terbabit dalam penggambaran drama Cinta Ibadah mempunyai episod yang panjang di Astro. Fattah memegang watak Hafiz. Bagaimanapun wataknya tiba-tiba dimatikan dan digantikan dengan Hisyam Hamid.

"Perihal dimatikan watak itu di luar bidang kuasa saya dan setahu saya ia kehendak penulis skrip. Tapi saya bukan dibuang daripada produksi drama berkenaan seperti yang dianggap. Tetapi memang sedari awal mengikat kontrak lagi saya sudah dimaklumkan hal ini.

"Ketika watak saya dimatikan, sepatutnya ada tawaran berlakon filem. Tetapi ia ditunda dan akhirnya saya dapat tahu ia tak jadi untuk diteruskan penggambaran. Kebetulan pula rezeki saya datang untuk terbabit dengan drama Bencinta.

"Saya dapat tahu berkemungkinan saya juga akan memasuki kembali set penggambaran drama Cinta Ibadah. Tetapi ia belum dapat dipastikan," katanya yang masih akrab dengan Sherry Ibrahim sejak berlakon sama dalam Cinta Ibadah.

Berita Harian X