Rabu, 14 Januari 2015 | 4:11pm

Hulur sumbangan bersihkan sekolah terjejas banjir - Muhyiddin


TAN Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan hadiah utama pada Majlis Penyampaian Hadiah 'Kerana Anda Begitu Istimewa' 1TeachersCard anjuran Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan untuk pembersihan sekolah yang terjejas akibat banjir.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan terpaksa menanggung kos yang amat tinggi untuk membersihkan sekolah-sekolah terbabit.

"Kos pembersihan sekolah amat tinggi, berjuta ringgit telah diperuntukkan agar proses pengajaran dan pembelajaran nanti dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Jadi kalau ada pihak lain yang ingin menyumbang amat dialu-alukan," katanya dalam ucapannya semasa Majlis Penyampaian Hadiah 'Kerana Anda Begitu Istimewa' 1TeachersCard anjuran Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) di sini Rabu.

Di majlis itu, beliau turut menerima sumbangan daripada YGMB berjumlah RM50,000 untuk Tabung Bantuan Banjir Kementerian Pendidikan.


TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata sesuatu dengan guru dari SMK Seri Jengka, Maran, Pahang, Muhamad Nor Hidayat (tiga dari kiri) yang memenangi hadiah utama pada Majlis Penyampaian Hadiah 'Kerana Anda Begitu Istimewa' 1TeachersCard anjuran Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Muhyiddin berkata bencana banjir luar biasa baru-baru ini menjejaskan sebahagian besar prasarana pendidikan negara sehingga membawa kepada pengumuman penangguhan pembukaan sesi persekolahan 2015.

Malah, katanya, sesi persekolahan di 41 sekolah di Kelantan, Pahang dan Perak yang masih terjejas akibat banjir terpaksa ditangguhkan kepada 18 dan 19 Januari ini.

"Pada ketika ini negara kita masih lagi dibelenggu dengan bencana banjir luar biasa yang melanda khususnya di negeri-negeri Pantai Timur termasuk Perak sehingga ada antara guru kita yang turut terkorban," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X