Ahad, 11 Jun 2017 | 1:18pm

NU lancar kempen perangi militan

AHLI Nahdatul Ulama (NU). - Foto AFP
AHLI Nahdatul Ulama (NU). - Foto AFP

JAKARTA: Sayap separa tentera pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdatul Ulama (NU), melancarkan kempen menolak sikap tidak bertolak ansur sambil mempertahankan pendekatan inklusif negara itu terhadap Islam.

Berpakaian celoreng dan digelar militan sederhana yang "bersenjatakan keyakinan" mereka berarak ketika kebimbangan memuncak terhadap kebangkitan kumpulan ultra konservatif di negara paling ramai umat Islam itu.

Beratus ahli NU baru-baru ini menyerbu sebuah hotel di mana kumpulan radikal Hizb Ut-Tahrir sedang bermesyuarat bagi mengubah Indonesia kepada pemerintahan "khalifah" dengan undang-undang syariah.

Mereka mengepung bangunan itu dan memaksa mesyuarat itu dihentikan sebelum polis campur tangan dan mengarahkan bersurai.

Sebanyak 90 peratus daripada 255 juta penduduk Indonesia adalah Islam tetapi agama lain tetap dibenarkan dan tradisi itu yang mahu dipertahankan oleh NU.

Ia mengambil pendekatan keras termasuk kerap menghantar sayap separa tentera dikenali Banser untuk berdepan dengan pelampau.

Komander Banser Kebangsaan, Alfa Isnaeni, berkata republik itu ditubuhkan oleh nenek moyangnya yang juga ulama bersama rakan dari agama Kristian.

"Kita perlu mempertahankan legasi ini," katanya kepada AFP.

NU berkata ia terpaksa campur tangan dan meluaskan kegiatannya berikutan kelemahan kerajaan yang sudah lama dikritik kerana gagal melumpuhkan kumpulan ultra-konservatif. - AFP

Berita Harian X