Isnin, 12 Jun 2017 | 2:55pm
Suasana pilu di perkarangan Hospital Jempol dipecayai waris mangsa keluarga kereta Myvi yang kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong semalam berkumpul bagi menuntut mayat ahli keluarga mereka. - Foto Adzlan Sidek

Ahli keluarga sedia jaga anak mangsa

SUASANA di perkarangan Hospital Jempol dipecayai waris mangsa keluarga kereta Myvi yang kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong semalam berkumpul bagi menuntut mayat ahli keluarga mereka.- Foto Adzlan Sidek

BANDAR SERI JEMPOL: Ahli keluarga pasangan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, dekat sini, semalam, berazam untuk memastikan nasib anak lelaki mereka berusia tiga tahun, terbela.

Azman Osman, 47, berkata mereka belum sempat berbincang lanjut mengenai hak penjagaan anak tunggal adik lelakinya, namun bersedia menerima apa saja keputusan yang difikirkan baik untuk kanak-kanak itu.

"Kejadian baru berlaku, saya belum sempat bertemu dan berunding dengan keluarga isteri adik saya mengenai perkara ini.

"Biarlah kami uruskan jenazah kedua-dua ibu bapanya terlebih dahulu sebelum berbincang mengenai hak penjagaan Muhammad Alifthaqif," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol, di sini, hari ini.

Osman Mohamed Taip, 31 dan isterinya, Rosniza Othman, 32, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu Perodua Myvi; Proton Exora, Toyota Vios serta sebuah treler pada jam 2.20 petang semalam.

Kemalangan itu turut menyebabkan enam sekeluarga berusia antara tujuh tahun dan 51 tahun, rentung apabila Proton Exora mereka terbakar selepas dihempap treler itu.

Sementara itu, Azman berkata, mereka hanya menerima berita kemalangan itu pada jam 7.45 malam daripada seorang rakan adiknya.

Mereka kemudian mencari lokasi kejadian berpandukan maklumat dikongsi pihak lain dalam Facebook.

Berita Harian X