Selasa, 13 Jun 2017 | 10:28am
NELAYAN warga Myanmar yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sembilan batu nautika dari barat laut Pulau Talang, Lumut. - Foto IHSAN APMM
BOT nelayan tempatan yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana melanggar syarat lesen. - Foto IHSAN APMM

APMM tahan 4 bot, 8 nelayan asing

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat bot nelayan bersama lapan tekong dan awak-awak warga Myanmar, kira-kira sembilan batu nautika dari barat laut Pulau Talang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, bot yang ditahan membabitkan bot nelayan tempatan kerana melanggar syarat lesen.

Pengarah Maritim Daerah Manjung, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, berkata semua warga asing berusia antara 20 tahun dan 45 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bot Kilat 11 ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan melanggar syarat yang dinyatakan dalam lesen iaitu menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Semua warga asing membabitkan empat tekong dan empat awak-awak warga Myanmar itu juga ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Mat berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan bot bersama semua warga asing terbabit dibawa ke Jeti Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X