Selasa, 13 Jun 2017 | 3:02pm

Saharul syukur kelahiran anak sulung pada Ramadan

PELAKON, Saharul Ridzwan memangku anak sulungnya, Muhammad Luth Ali, yang dilahirkan 6 Jun lalu - Foto Instagram Saharul Ridzwan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Saharul Ridzwan, menganggap Ramadan kali ini dan Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi lebih bermakna dengan kehadiran anak sulung, Muhammad Luth Ali.

Cahaya mata pertama hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, Qaabila Deena Amir, dilahirkan pada 6 Jun lalu.

"Menyambut bulan puasa yang penuh keberkatan ini dengan kelahiran anak kesayangan memberikan pengalaman dan perasaan cukup indah buat kami.

"Malah, tanggungjawab saya juga semakin besar sekarang dengan kehadiran si kecil. Jika dulu saya hanya perlu memikirkan soal diri sendiri dan isteri, kini anak juga menjadi amanah besar buat saya.

"Kami seboleh-bolehnya mahu mendidik Luth menjadi anak yang soleh dan dapat membahagiakan kami kelak. Insya-Allah, " kata Saharul, 28, yang turut mengadakan majlis tahnik untuk anaknya, baru-baru ini.

Pelakon yang cukup dikenali dengan drama Hati Perempuan ini juga berkata, sekarang Luth menjadi keutamaan mereka berdua.

"Memang apa saja yang kami lakukan kini, Luth akan jadi keutamaan. Walau sibuk dengan pelbagai kerja sekalipun, balik saja ke rumah saya mahu menatap wajahnya dengan segera.

"Dari segi persiapan raya juga, semuanya dilebihkan untuknya," katanya yang turut berharap peminat sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.

Saharul dan Deena yang juga usahawan butik dalam talian melangsungkan pernikahan pada 16 September tahun lalu di Putrajaya.

Berita Harian X