Selasa, 13 Jun 2017 | 6:18pm

Raja Saudi, PM Iraq bertemu kali kedua

RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud (kanan) dan Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi.
RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud (kanan) dan Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi.

BAGHDAD: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi akan mengadakan pertemuan esok untuk membincangkan hubungan dua hala kedua negara.

Pertemuan kali kedua tahun ini di pelabuhan Laut Merah di Jeddah adalah usaha negara berjiran itu untuk memulihkan keretakan disebabkan hubungan Iraq dengan Iran, lapor akhbar yang berpangkalan di London, Asharq al-Awsat memetik Menteri Arab Hal Ehwal Teluk, Thamer al-Sabhan.

Jurucakap kerajaan Iraq bagaimanapun tidak menjawab panggilan telefon untuk memberi komen.

Sebelum ini, Abadi dikatakan berusaha memastikan Iraq tidak terbabit dengan pertikaian antara Qatar dan negara Teluk.

Perdamaian di antara negara Islam berfahaman sunnah dengan majoriti Syiah Iraq itu dijangka memberi kesan positif kepada rantau Teluk tatkala ketegangan makin memuncak di dalam dan luar Iran.

Minggu lalu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara Arab yang lain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar dengan menuduh negara itu menyokong pengganas.

Beberapa hari kemudian berlaku serangan di Tehran yang membunuh 17 orang dan Iran menuduh Arab Saudi antara dalang serangan itu. Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X