Selasa, 13 Jun 2017 | 6:55pm

YBR-BH tingkat kerjasama strategik pendidikan


PENGERUSI Yayasan Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh (lima dari kiri) bergambar bersama Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali (dua dari kiri), Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim (tiga dari kiri), Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad (kanan), Rektor ASWARA, Profesor Datuk Ir Dr Mohd Rizon Juhari (dua dari kanan) dan Pengurus Pemasaran foto BERNAMA, Mohd Farhan Mustafa Kamal (tiga dari kanan), penerima memorandum sebagai rakan strategik Yayasan Bank Rakyat serta ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Bank Rakyat pada majlis iftar bersempena sambutan Ulang tahun ke-10 Yayasan Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa agensi tempatan, institusi pengajian tinggi dan rakan strategiknya termasuk BH.

MoU itu membabitkan kerjasama kedua-dua pihak menerusi program bimbingan peperiksaan Seminar Didik Rakyat BH untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sudah terjalin sejak 2003.

Pada majlis itu, YBR diwakili Pengerusinya, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, merangkap Pengerusi Bank Rakyat manakala BH diwakili Pengarang Kumpulannya, Datuk Mahfar Ali.

Yang turut hadir, Pengurus Besar YBR Norashikin Shaharudin; Mantan Pengerusi YBR Datuk Abdul Rahman Kasim dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman.

Sementara itu, Shukry berkata pihaknya terus komited menggalakkan kepelbagaian program pembelajaran sepanjang hayat dan pengetahuan holistik, di samping mengukuhkan lagi komuniti melalui program kreatif dan inovatif.

"YBR turut menawarkan Biasiswa dan Pembiayaan Pendidikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia bermula sejak 2009.

"Program yang kami laksanakan sememangnya memberi kesan kepada pelajar iaitu lebih daripada 100,000 pelajar di negara ini sudah mendapat manfaat daripada Seminar Didik Rakyat yang dikenali dengan program Skor-A", katanya pada Majlis Iftar Ramadan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-10 YBR di Menara Bank Rakyat , di sini, sebentar tadi.

YBR jelasnya akan terus meneroka peluang dan ruang untuk membantu pelajar, guru dan masyarakat dalam mengemaskini kompetensi supaya kekal relevan dengan keperluan semasa, sekali gus mempersiapkan pelajar seiring abad ke-21.

Berita Harian X