Selasa, 13 Jun 2017 | 9:44pm

SPAD perketat saringan pemandu e-hailing

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengetatkan proses saringan pemandu e-hailing susulan penahanan seorang pemandu GrabCar yang didakwa merogol seorang penumpang wanita, kelmarin.

SPAD dalam satu kenyataan, memberitahu sudah mengadakan mesyuarat bersama Grab Malaysia bagi membincangkan langkah-langkah keselamatan yang serius termasuk mengarahkan pengendali e-hailing mempercepatkan pengenalan butang S.O.S, hari ini.

"Demi keselamatan penumpang, beberapa langkah akan diwajibkan ke atas pengendali e-hailing sebelum berlangsung bacaan kedua bagi pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat (2010) di Parlimen pada Julai nanti.

"Antara langkah-langkah itu adalah pengendali e-hailing diwajibkan mengemukakan rekod-rekod pemandu kepada SPAD bagi membolehkan kita melaksanakan saringan latar belakang yang lebih ketat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Bagi meningkatkan keselamatan, Suruhanjaya juga sudah mengarahkan pengendali mempercepatkan pelaksanaan butang panik atau S.O.S pada aplikasi mereka dalam masa terdekat," katanya.

Tambahnya, butang panik itu sebagai satu ciri keselamatan kepada penumpang yang akan memberikan makluman kepada polis apabila terdapat kecemasan.

"Sebagai satu polisi mitigasi risiko yang proaktif, SPAD menggesa pengendali menggunakan proses yang lebih menyeluruh bagi mengenal pasti profil pemandu.

"Ini akan membolehkan mereka mengenal pasti dan menghalang pemandu yang berisiko tinggi," katanya lagi.

Selain itu, katanya pengendali e-hailing juga diwajibkan untuk menyerahkan data bulanan mengenai pemandu-pemandu yang sudah dikenal pasti atas kesalahan trafik, tingkah laku dan perkhidmatan.

"Ini bagi membolehkan kita menyenarai hitam pemandu terbabit dan menghalang mereka daripada bermigrasi kepada perkhidmatan e-hailing yang lain.

"Pengendali turut dikehendaki menyerahkan data bulanan 'rating' pemandu kepada SPAD untuk menangani secara proaktif isu-isu pengurusan pemandu," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, setelah peraturan kawal seliaan e-hailing diluluskan Parlimen, pengendali e-hailing diwajibkan untuk mengamalkan tahap keselamatan dan perkhidmatan yang tertinggi.

Katanya, pihak SPAD tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan terhadap pengendali dan pemandu e-hailing yang didapati melanggar undang-undang serta menyita kenderaan mereka.

Berita Harian X