Selasa, 13 Jun 2017 | 11:39pm

Warga emas tak sempat nikmati juadah

WARGA emas maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli juadah berbuka di Jalan Behrang Stesen-Kampung Sungai Selisik, petang tadi.

BEHRANG: Hasrat seorang warga emas menikmati juadah berbuka tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Behrang Stesen, dekat sini, jam 6.30 petang tadi.

Mangsa, Norayah Ali, 75, dari Kampung Sungai Selisik, maut di tempat kejadian selepas motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya bertembung dengan motosikal Honda CBR 250 dari arah bertentangan dinaiki pasangan suami isteri yang turut cedera.

Ketika kejadian Norayah dikatakan baru sahaja membeli juadah berbuka di Pasar Ramadan Behrang Stesen dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.

Menantu Norayah, Ahmad Izar Ismail, 49, berkata kali terakhir beliau bertemu ibu mentuanya ketika berbuka puasa Sabtu lalu dan tidak menyangka ia pertemuan terakhir.

"Biasanya apabila kami balik berjumpa emak ketika bulan puasa beliau akan masak pelbagai juadah hidangan untuk anak dan cucunya tetapi kali ini berbeza kerana dia hanya masak ala kadar sahaja.

"Perubahan itu dirasai saya dan isteri namun kami fikir mungkin emak penat," katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Slim River (HSR) sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintandan Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang dihubungi mengesahkan kemalangan maut itu.

Difahamkan, pasangan suami isteri berusia 40-an yang cedera dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X