Rabu, 14 Jun 2017 | 6:00am

R&D pertahanan tingkat teknikal, kepakaran ATM


Laman Facebook Rasmi STRIDE boleh dilayari di :

Pada 18 Mei lalu, saya melawat Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), di bawah Kementerian Pertahanan. Agensi yang berorientasikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan ini juga membekal dan menyediakan kepakaran serta sokongan teknikal kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

STRIDE ditubuhkan pada 1968, awalnya dikenali sebagai Pusat Teknikal Pertahanan (DTC) yang bertanggungjawab membantu pihak tentera menyediakan spesifikasi pertahanan bagi tujuan perolehan, menjalankan kerja uji nilai, melakukan pengujian makmal dan membuat penilaian.

STRIDE menandatangani nota kerjasama, kontrak pengujian dan perjanjian Pengkomersialan meliputi nota kerjasama antara STRIDE dengan Agensi Angkasa Negara. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bertindak sebagai rangka kerja am bagi usaha sama melaksanakan dan menyokong program penyelidikan dan pembangunan teknologi angkasa untuk pertahanan.

Menyelusuri sejarah STRIDE pada 1972, namanya ditukar kepada Pusat Penyelidikan Pertahanan (DRC).

Pada 1985 pula, ia sekali lagi bertukar kepada Pusat Sains dan Teknologi Pertahanan (PSTP) yang berperanan sebagai pusat pemindahan teknologi pertahanan di samping mengekalkan perkhidmatan sokongan teknikal kepada ATM. Pada tahun sama, PSTP cawangan Maritim di Lumut ditubuhkan. Kompleks Persenjataan PSTP di Batu Arang, ditauliahkan pada 1993 bagi menyokong pihak ATM dalam bidang berkaitan persenjataan dan dirasmikan pada 1995.

Pada Disember 2001, Kabinet meluluskan penstrukturan semula organisasi dan perubahan status pusat dari bahagian kepada satu jabatan di bawah Kementerian Pertahanan dengan nama STRIDE yang mempunyai lima Bahagian Teknologi (Persenjataan, Maritim, Perlindungan & Biofizikal, Jentera & Aeroangkasa dan Instrumentasi & Elektronik) dan satu Bahagian Pengurusan.

Pada 1 April 2002, STRIDE beroperasi secara rasmi dan diadakan pelancaran pembinaan kompleks induk di Kajang. Seterusnya pada 2004, kompleks makmal utamanya mula beroperasi dan dirasmikan pada 2005.

Bagi Kontrak Pengujian antara STRIDE dengan DRB HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH), ia bertujuan pelaksanaan pengujian Electromagnetic Compatibility (EMC) dengan nilai kontrak RM2.4 juta. STRIDE menyediakan khidmat pengujian EMC ke atas Kereta Berperisai AV8 Gempita yang sedang dibangunkan oleh DEFTECH. Kerjasama ini membabitkan perkara dalam membangunkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang EMC di STRIDE, meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang EMC dan membangunkan kaedah pengujian yang sesuai untuk diguna pakai di dalam negara.

Perjanjian komersial antara STRIDE dan empat Industri Pertahanan adalah kerjasama strategik antara kerajaan dan industri tempatan untuk beri peluang kepada industri tempatan terutamanya syarikat Bumiputera mengkomersialkan hasil produk R&D institut penyelidikan tempatan. Kerjasama ini merangkumi pengesahan teknologi dan pasaran, pengeluaran produk serta memasarkan produk ke peringkat global.


LAMAN rasmi STRIDE di http://www.stride.gov.my/v1/index.php/ms/

Terima bayaran royalti

Empat perjanjian berkenaan meliputi perjanjian antara STRIDE dengan Alaf Strategi Sdn Bhd bagi tujuan pengkomersialan produk Aerostat and Airship Based Surveillance System. STRIDE akan menerima bayaran royalti 10 peratus daripada keuntungan jualan Aerostat and Airship Based Surveillance System. Selain itu, perjanjian antara STRIDE dengan Entruss Ventures Sdn Bhd bagi tujuan pengkomersialan produk Soft Body Armour Vest. STRIDE akan menerima bayaran konsultansi satu peratus setiap unit jualan Soft Body Armour Vest.

Perjanjian antara STRIDE dengan Famille Lab Plt pula bertujuan pengkomersialan produk Meat Bars. STRIDE akan menerima bayaran konsultansi RM50,000. Sementara perjanjian antara STRIDE dengan Saffur Tex Resources Sdn Bhd bagi tujuan pengkomersialan produk Water Hydration Backpack. STRIDE akan menerima royalti sebanyak dua peratus daripada setiap unit jualan Water Backpack Hydration.

Selain itu, pelancaran pengkomersialan produk STRIDE adalah untuk menyahut seruan Perdana Menteri bagi melonjakkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai penjana kekayaan melalui proses pengkomersialan. STRIDE juga membabitkan diri di dalam program Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2.0 iaitu agenda negara atau KPI Khas Negara dengan mendaftarkan lima produk STRIDE iaitu:

Aerostat and Airship Based Surveillance System. Aerostat adalah untuk pemantauan dan pengawasan dari udara dilengkapi kamera dan peralatan radio. Sistem ini sesuai untuk pengawasan maritim dan sempadan, keselamatan dalam negeri, risikan, komunikasi, penghantaran data, fotografi dari udara dan pengiklanan.

Water Hydration Backpack. Gabungan beg galas dan beg penghidratan yang mempunyai sistem penapisan air beraliran graviti dengan kapasiti maksimum 3 liter, ruang penyimpanan tambahan dan sesuai dijadikan sebagai anduh (sokongan lengan). Ia digunakan sebagai bekalan air minuman semasa operasi.

Soft Body Armor Vest. Perlindungan Trauma Ergonomik adalah ves kalis peluru tahan lasak dan direka supaya mudah diubahsuai, rompi balistik ENTRAP(TM) memberi liputan perlindungan optimum di samping memberi kebebasan bergerak maksimum, mudah dipakai.

Meat Bars. Produk makanan berasaskan daging dan ayam diperap sos yang sedia dimakan, menggunakan teknologi retort. Produk boleh dimakan tanpa perlu dimasak atau dipanaskan.

Unmanned Surface Vessel (USV). USV adalah kenderaan beroperasi di permukaan air tanpa pemandu dan digunakan untuk aplikasi maritim seperti pengumpulan data saintifik, oseanografi dan keselamatan maritim operasi ketenteraan.

Penulis adalah Timbalan Menteri Pertahanan

95 dibaca
Berita Harian X