Rabu, 14 Jun 2017 | 7:55am

Parlimen Mesir lulus serah pulau kepada Arab Saudi


PARLIMEN Mesir. - Foto fail Reuters

KAHERAH: Jawatankuasa Parlimen Mesir meluluskan perjanjian membabitkan penyerahan dua pulau di Laut Merah kepada Arab Saudi.

"Perjanjian itu diluluskan selepas mendapat undian daripada 35 ahli Parlimen, manakala lapan lagi menentang," kata Ahli Parlimen, Mostafa Bakry kepada AFP.

Bagaimanapun, perjanjian itu akan diteliti terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pertahanan Parlimen sebelum ia melalui proses pengundian umum.

Sebelum ini, mahkamah menolak perjanjian yang ditandatangani pada April 2015, namun setahun kemudian sebuah lagi mahkamah mengesahkannya.

Perjanjian itu mencetuskan bantahan di Mesir, malah Presiden Abdel Fattah al-Sisi dituduh menyerahkan kedua-dua pulau iaitu Tiran dan Sanafir untuk menerima dana daripada Arab Saudi.

Namun, kerajaan menegaskan pulau itu memang secara asalnya dimiliki oleh Arab Saudi tetapi dipajakkan kepada Mesir pada 1950-an.

Pihak pembangkang menolak perjanjian kerana mendakwa Tiran dan Sanafir adalah milik Mesir. - AFP

80 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »