Rabu, 14 Jun 2017 | 9:08am

Kim Swee tuntut kualiti lebih tinggi

GAMBAR fail, Ketua Jurulatih Skuad B-22 Kebangsaan Datuk Ong Kim Swee (kiri) bersama pemain B-22 ketika menunggu giliran untuk berlepas ke China di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Jun lalu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee belum berpuas hati dengan kualiti dipamerkan pemainnya sepanjang dua perlawanan persahabatan di China.

Selepas tewas tipis 1-0, kebangkitan dipamerkan pemain ketika mengikat Guangzhou R&F FC, 2-2 semalam, sedikit melegakan pengendali itu yang dalam persiapan menghadapi Sukan SEA, Ogos ini.

"Tidak begitu memuaskan daripada segi prestasi. Selepas membuat tujuh pertukaran berbanding aksi dengan skuad B-22 China, saya dapati beberapa pemain masih belum sampai ke tahap memuaskan.

"Apapun, yang penting mereka mempunyai sikap cukup positif ketika bangkit daripada ketinggalan dua gol. Itu satu petanda yang cukup baik," katanya.

Terdahulu, Guangzhou R&F mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Deng Zhiyao dan Zhu Di pada minit ke-21 dan 38.

Namun dua jaringan daripada tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid pada minit ke-47 dan ke-53 menyelamatkan skuad muda negara daripada tewas buat kali kedua.

Esok, skuad B-22 negara dijadualkan menentang satu lagi kelab Liga Super China, Guangzhou Evergrande yang disifatkan sebagai medan penilaian akhir Kim Swee.

Berita Harian X