Rabu, 14 Jun 2017 | 12:46pm

'Tukar kad baharu MyRapid TNG'

KUALA LUMPUR: Mulai esok, pengguna pengangkutan perkhidmatan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) disaran menukar kad MyRapid Touch 'n Go (TNG) seiring permulaan operasi Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Kajang 17 Julai ini.

Prasarana dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, proses pertukaran kad baharu itu adalah percuma dan membolehkan pengguna mengakses semua jenis perkhidmatan Rapid KL-Bas Rapid Transit (BRT), MRT serta LRT Monorail kecuali di stesen Abdullah Hukum.

"Penggunaan kad MyRapid semasa akan tamat selepas 15 Julai ini," katanya sambil memaklumkan proses migrasi meliputi kad MyRapid biasa dan kad MyRapid konsesi, termasuk untuk warga emas, pelajar dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategi Prasarana, Lim Jin Aun, berkata kad MyRapid biasa boleh ditukar di pejabat perkhidmatan pelanggan (CSO) Rapid KL di semua stesen LRT, Monorel dan BRT ketika waktu operasi stesen.

"Bagi kad konsesi, penggantian hanya boleh dilakukan di kaunter kad konsesi di hab bas Pasar Seni kerana ia memerlukan pemegang kad mengisi borang berkaitan dan mengambil gambar untuk pengesahan," katanya.

Beliau berkata, baki sedia ada kad lama akan dipindahkan ketika proses migrasi ke kad baharu MyRapid TnG, manakala pengguna perlu menggenapkan baki dalam kad itu.

"Sebagai contoh, jika baki dalam kad MyRapid semasa adalah RM2.50, pengguna perlu tambah nilai RM2.50 untuk menjadikannya RM5 dan jika RM13.70, ia perlu ditambah nilai RM1.30 untuk menjadikannya RM15.

"Jika baki adalah RM17, nilai perlu ditambah RM3 untuk menjadikannya RM20. Tambah nilai boleh dilakukan di CSO," katanya.

Beliau berkata, pengguna kad MyRapid yang melanggan Smart 7, Smart 30 dan MyRapid Bas 30 pakej masih boleh menikmati manfaat sama dengan kad MyRapid TnG baharu.

"Bagaimanapun, pelanggan pakej ini tidak boleh memindahkan baki. Oleh itu, kami menasihatkan pelanggan menyelesaikan penggunaan baki sedia ada sebelum berhijrah ke kad baharu ini," katanya.

Untuk penggunaan Kad MyRapid di kemudahan Park n Ride di stesen LRT Gombak dan Ampang, katanya, pengguna kad masih boleh menikmati kadar rata iaitu RM4 sekali masuk.

"Bagaimanapun, kemudahan Park n Ride di Stesen LRT Ampang kini dibuka secara percuma sehingga September 2017," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X