Rabu, 14 Jun 2017 | 1:06pm

Malaysia wajar bersikap neutral, jadi perantara - PPMM


DATUK Zainul Rijal Abu Bakar. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berperanan sebagai perantara dan menzahirkan sikap neutral dalam menyelesaikan krisis hubungan diplomatik antara Arab Saudi dan beberapa negara Islam lain dengan Qatar.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata selaku negara Islam yang dihormati dalam kalangan negara Islam dan bukan Islam, Malaysia mempunyai kelebihan sebagai perantara untuk menyelesaikan pertikaian secara baik berdasarkan prinsip Islam.

Katanya, peranan sebagai perantara lebih mulia daripada menyokong sebelah pihak kerana benar atau tidak pihak berkenaan bukan perkara yang menjadi teras kepada tindakan yang diambil.

"PPM juga menyeru umat Islam supaya menghentikan tindakan memihak kepada mana-mana pihak, sebaliknya berusaha mendamaikan dua saudara yang sedang bertikai atau sekurang-kurangnya berdoa supaya kemelut dihadapi negara Islam diselesaikan segera.

"Mendamaikan antara dua pihak yang bertelagah adalah lebih baik dari menyemarakkan lagi pertikaian dengan menyokong mana-mana pihak. PPMM percaya kebolehan dan kemampuan Malaysia menjadi orang tengah menyelesaikan pertikaian ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainul Rijal berkata, pihaknya juga menyeru kumpulan negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar serta Qatar sendiri supaya berunding atas semangat Islam pada Ramadan ini, bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut kedua-dua pihak.

Beliau berkata, negara Islam seharusnya merapatkan saf perpaduan dan bersatu dalam segala tindakan serta memberi keutamaan terhadap kepentingan agama dan persaudaraan.

Berita Harian X