Rabu, 14 Jun 2017 | 1:23pm

Farisha tak malu belajar


FARISHA Irish

KUALA LUMPUR: Sesuai dengan judul single pertama yang dirakamkan, Tak Malu, bakat remaja, Farisha Irish nyata tidak malu mendalami dunia nyanyian demi mengukuhkan namanya di persada seni.

Pernah muncul naib juara program realiti, Idola Kecil musim keempat terbitan TV9 dan tempat ketiga, Ceria Popstar yang disiarkan Astro, Farisha mempertaruhkan single pop santai sesuai dengan imej remaja.

"Saya harap single Tak Malu ini dapat memperkenalkan diri di pentas seni. Seperti judul lagu, saya tak malu untuk terus belajar dan mengukuhkan nama.

"Masih jauh perjalanan ini tetapi saya anggap semuanya permulaan yang baik untuk membuktikan bakat bakat yang ada," katanya kepada BH Online.

Farisha berkata, single ciptaan Mike Chan dengan lirik dihasilkan Omar K itu mempunyai melodi catchy dan diminati pendengar muzik sekarang.

Selain menyanyi, Farisha pernah mengacarakan program kanak-kanak berbentuk edutainment Teng Teng dan ChiChi & ChaCha. Dia juga pernah tampil dalam drama bersiri Nujum Kenit dan telemovie Tiba Masanya.

Farisha yang boleh bermain piano, sangat teruja dengan pembikinan single terbaru ini.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Sony Music Entertainment Malaysia kerana mempelawa saya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar mereka," katanya.

Tak Malu boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.

197 dibaca
Berita Harian X