Rabu, 14 Jun 2017 | 2:16pm
WAN Mohd Hasnan (kanan) bersama Sulaini (dua dari kiri) bergotong-royong bersama kakitangan dan sebahagian pelajar SMK Wakaf Bharu membersihkan kawasan sekitar bangunan YOKUK pada Program Sentuhan Kasih Ramadan PETRONAS 2017 di Pengkalan Chepa. - Foto Zaman Huri Isa

PETRONAS beri YOKUK 'wajah baharu'

KOTA BHARU: Seramai 20 kakitangan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan 40 pelajar sekolah menengah menjalankan kerja sukarela di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), hari ini.

Mereka melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Ramadan, bermula jam 8 pagi tadi, membabitkan pembersihan serta menceriakan kawasan sekitar.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah, berkata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, turut terbabit dalam program yang mengutamakan bantuan untuk golongan OKU.

"Program ini adalah acara tahunan yang membabitkan PETRONAS dengan komuniti dan turut membabitkan negeri lain seperti Terengganu dan Pahang bagi menjalankan CSR sempena Ramadan.

"Kami membawa kakitangan PETRONAS dari Kerteh, Terengganu dan Kuala Lumpur untuk sama-sama membabitkan diri dalam kerja sukarelawan ini," katanya kepada pemberita di sini, sebentar tadi.

Sukarelawan menjalankan kerja gotong-royong termasuk mengecat serta pembaikan kecil.

Pengurus Besar YOKUK, Sulaini Mat Il, berkata pihaknya berbesar hati menerima bantuan PETRONAS dalam usaha menceriakan yayasan yang mempunyai 4,400 ahli berdaftar itu.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 1999, tiada sebarang penambahbaikan dijalankan terhadap yayasan itu sedangkan YOKUK menyediakan perkhidmatan kepada semua pesakit (yang berdaftar) di seluruh Kelantan.

"Kami melihat usaha yang dilakukan PETRONAS ini bukan saja satu tanggungjawab sosial tetapi juga untuk memupuk semangat sukarelawan di kalangan golongan muda di negeri ini.

"Selain menceriakan kawasan YOKUK, PETRONAS juga akan ke rumah dua ahli kami di Kubang Kerian dan Kampung Cherang di sini, untuk menjalankan tugasan sukarelawan yang sama," katanya.

Berita Harian X