Rabu, 14 Jun 2017 | 5:54pm

Tempoh diskaun kompaun MBI dilanjutkan

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melanjutkan tempoh diskaun 75 peratus bayaran kompaun sempena Sambutan Hari Bandar Raya Ipoh ke-29 dan Ramadan yang sepatutnya berakhir hari ini hingga 30 Jun ini.

Lanjutan itu dibuat selepas permintaan tinggi warga bandar raya terhadap kempen berkenaan.

MBI dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man sudah bersetuju untuk melanjutkan tempoh berkenaan.

"Diskaun pengurangan 75 peratus itu bagaimanapun hanya membabitkan tawaran kompaun bagi kesalahan trafik dan lalu lintas yang dikeluarkan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Ipoh)

"Tawaran diskaun bertujuan membantu dan meringankan beban warga Ipoh untuk melangsai dan menjelaskan semua bayaran tertunggak selama ini.

"Sekiranya peluang ini tidak digunakan sebaik mungkin MBI tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman terhadap semua pesalah yang tidak merebut peluang menjelaskan tunggakan kompaun mereka," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pengurangan 75 peratus bayaran itu hanya diberikan bagi kesalahan berkaitan tidak mempamerkan kupon atau meletakkan kenderaan di luar petak sahaja, bagi kesalahan lain ia tertakluk kepada diskaun dan prosedur pengurangan sedia ada.

Warga Ipoh boleh terus membuat pembayaran kompaun di kaunter bayaran ibu pejabat MBI, Jalan Sultan Abdul Jalil, kaunter bayaran di Jalan Bandar, kaunter bayaran MBI di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan kaunter pandu masuk MBI atau bayaran secara atas talian dengan melayari portal rasmi MBI, www.mbi.gov.my serta boleh membuat semakan di kaunter 1 Serve di lobi Bangunan MBI.

Berita Harian X