Rabu, 14 Jun 2017 | 10:48pm

Guangzhou Evergrande lebih mencabar - Kim Swee

DATUK Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin
DATUK Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menganggap pertemuan dengan Guangzhou Evergrande, esok lebih mencabar berbanding ketika menentang Guangzhou R&F.

Justeru, Kim Swee menjelaskan beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik dalam usaha melakukan penilaian terakhir terhadap kemampuan skuadnya itu.

"Saya percaya perlawanan kali ini lebih mencabar dan mereka (Guangzhou Evergrande) pasti akan menurunkan beberapa pemain dari Liga Super China.

"Apapun, kita perlu cuba dapatkan kemenangan yang mana mampu memberi keyakinan untuk menghadapi perlawanan akan datang," katanya hari ini.

Pada aksi sulung siri jelajah di China, Sabtu lalu, anak buah Kim Swee tewas 0-1 kepada skuad B-22 China sebelum terikat 2-2 dengan Guangzhou R&F.

Selain itu Kim Swee mengesahkan akan menggugurkan beberapa pemain selepas pulang ke tanah air, Jumaat ini.

"Kemungkinan juga ada beberapa pemain baharu akan dipanggil untuk menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan (menentang Melaka United pada 22 Jun) sebelum Aidilfitri," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X