Khamis, 15 Jun 2017 | 7:14am

Tambah anggota polis cegah jenayah ketika perayaan - KP Melaka

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Polis negeri hanya meluluskan dua peratus permohonan cuti membabitkan 2,200 anggotanya di seluruh negeri ini bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan pencegahan jenayah pada musim perayaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata pembekuan cuti itu bagi menumpukan pengurangan indeks jenayah, sekali gus membuktikan aspek keselamatan masyarakat sentiasa diutamakan.

"Ia termasuklah pengenalan kempen Op Selamat yang dilancarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, semalam yang akan berakhir seminggu selepas Aidilfitri.

"Disebabkan masyarakat bekerjasama dalam Op Selamat, selain mengisi borang balik kampung, indeks jenayah khususnya kejadian kes pecah rumah menurun bagi tempoh lima tahun ini di semua tiga daerah di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Singgah Sahur Kelab Media Massa Melaka (KEMM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bangunan Stadthuys, Banda Hilir, di sini, pagi ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Ruslan Hassan dan Yang Dipertua KEMM, Samat Majid.

Terdahulu, seramai kira-kira 20 ahli KEMM terdiri daripada wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi media cetak dan elektronik mengadakan program bersahur dengan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Ayer Keroh dan anggota polis di Balai Polis Ayer Keroh di sini.

Program julung kali diadakan itu turut mendapat tajaan dan sumbangan dari Tesco Store (M) Sdn Bhd, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd dan Pasaraya Econsave (cawangan Malim).

Mengenai kaedah mengisi borang balik kampung, Abdul Jalil berkata, terdapat tiga cara yang boleh dilakukan iaitu mengisi borang di balai polis berhampiran, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) serta menghubungi bilik gerakan ibu pejabat polis daerah (IPD) yang beroperasi 24 jam.

Berita Harian X