Khamis, 15 Jun 2017 | 11:55am

Kastam Kedah rampas mercun RM225,239

Pengarah Kastam Negeri Kedah, Datuk Johari Alifiah. - Foto Sharul Hafiz Zam
Pengarah Kastam Negeri Kedah, Datuk Johari Alifiah. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menggagalkan cubaan menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM225,239 termasuk cukai di sini, petang Selasa lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Johari Alifiah, berkata kejayaan itu susulan serbuan ke atas sebuah lori dipandu seorang lelaki di Kilometer 52.5 Lebuhraya Utara Selatan di sini, pada jam 2.55 petang.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas lori berkenaan menemui 164 kotak pelbagai saiz yang kemudian disahkan mengandungi mercun dan bunga api yang ditutup menggunakan kanvas di bahagian belakang kenderaan itu.

"Kita percaya ketika ditahan, lori berkenaan dalam perjalanan ke ibu negara untuk menghantar stok mercun dan bunga api itu.

"Justeru lelaki berusia lingkungan 30-an yang memandu lori terbabit ditahan dan lori dengan muatan mercun yang dirampas itu dibawa ke pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan di Alor Setar untuk siasatan lanjut," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Johari berkata kejayaan Selasa lalu itu membabitkan rampasan terbesar setakat ini walaupun sebelum ini pihaknya merekodkan sembilan kes tangkapan mercun dan bunga api sepanjang Ramadan ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang larangan belum lulus kastam.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda dari nilai barang dan tidak lebih dari 20 kali ganda dari nilai barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X