Khamis, 15 Jun 2017 | 8:22pm

Sangka anak masih di Labuan - Bapa


JENAZAH juruterbang yang maut selepas pesawat Hawk 108 yang terhempas di kawasan paya Chukai, Kemaman ketika tiba di bilik Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan. - Foto Ihsan TUDM

BANDAR SERI JEMPOL: Bapa juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam latihan di Chukai, Terengganu, hari ini, tidak menyangka berita televisyen yang menyiarkan nahas itu membabitkan anaknya.

Ini menyebabkan Zahari Md Din, 51, tidak peduli dengan berita itu kerana  menyangka anaknya, Mejar Hasri, berada di Labuan, yang menjadi pangkalan pasukannya.

"Saya hanya menyedari dia terbabit apabila isterinya, (Assyuhadak Ahmad, 30), menghubungi saya kira-kira jam 1.30 tengah hari, memaklumkan bahawa Mejar Hasri kemalangan dan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mejar Hasri, 31, terbunuh selepas pesawat Hawk 108 yang digunakan ketika menjalani latihan terhempas di Chukai, Kemaman, Terengganu.

Kejadian berlaku Mohd Hasri dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, menjalani latihan menaiki pesawat itu sebelum terputus hubungan pada jam 11.30 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung  Sungai Lui Muda itu berkata, dia tidak mengetahui langsung bahawa anaknya berada di Kuantan, Pahang, menjalani latihan.

Zahari berkata, arwah anaknya sepatut pulang beraya di kampung, Sabtu ini, selepas mendapat cuti selama 10 hari.

"Adiknya, Norhaslinda, 30, akan menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Arwah adalah anak tunggal lelaki daripada empat beradik.

"Kali terakhir arwah menghubungi ibunya, Hatijah Abd Hamid, 60, seminggu lalu namun tidak diketahui apa yang mereka berbual," katanya sambil memaklumkan arwah memiliki seorang anak perempuan berusia enam bulan," katanya.

Dalam kejadian itu, Mohd Hasri dan Yazmi ditemui 20 meter antara satu sama lain lengkap dengan payung terjun masing-masing.

Berita Harian X