Khamis, 15 Jun 2017 | 8:34pm

JKM beri sesi kaunseling keluarga Nhaveen


AHLI keluarga menenangkan D Shanti (tiga dari kanan) atas kehilangan anak lelaki tunggalnya T Nhaveen yang meninggal dunia selepas peringkat koma sejak Sabtu, di Hospital Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

KEPALA BATAS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meneruskan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa buli dan liwat, T Nhaveen, 19, yang meninggal dunia petang tadi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata sesi kaunseling itu sangat membantu terutama kepada ibu bapa mangsa yang pastinya sedih dan trauma berikutan kehilangan anak.

Beliau berkata, JKM sebelum ini sudah bertemu dengan keluarga remaja terbabit untuk memberikan khidmat kaunseling termasuk membuat pemantauan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Buat masa ini, kita hanya dapat membantu dari segi memberi kaunseling kepada keluarga untuk meredakan perasaan sedih dan marah mereka. "Sesi kaunseling ini akan terus diberikan kepada keluarga ini biarpun kita sudah dimaklumkan bahawa anak mereka sudah tiada," katanya pada sidang media selepas Merasmikan Program Negaraku Kasih Kita di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) Bertam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rohani berkata, sesi kaunseling itu juga adalah satu kaedah merawat perasaan keluarga terbabit supaya dapat meredakan dendam kepada si pelaku jenayah yang dibimbangi akan berlarutan jika tidak dikawal dari sekarang.

Nhaveen disahkan meninggal dunia selepas lima hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira jam 6 petang tadi.

Berita Harian X