Khamis, 15 Jun 2017 | 8:41pm

11 pesakit jantung kronik terima sumbangan

SULTANAH Terengganu, Tuanku Nur Zahirah (tengah) berkenan bergambar bersama-sama dengan penerima-penerima sumbangan sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Kanak-Kanak dari Tasputra Perkim, Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah dan Persatuan Kanser di Hotel Shangri La, turut hadir General Manager Shangri La, Manfred Weber (empat dari kanan). - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Hotel Shangri-La menyumbangkan RM400,700 kepada 11 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kronik pada majlis berbuka puasa dan makan malam amal di sini hari ini.

Pengurus Besar Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, Manfred Weber, berkata penerima sumbangan berusia antara dua bulan hingga 16 tahun dan daripada keluarga kurang berkemampuan memerlukan bantuan untuk prosedur pembedahan mereka.

Katanya, sumbangan akan dibayar terus kepada hospital supaya prosedur berjalan lancar tanpa sebarang masalah atau penangguhan.

"Segelintir pesakit kanak-kanak berkenaan sudah menjalani pembedahan dan dalam proses pemulihan.

"Menerusi program tanggungjawab sosial korporat kami ini, seramai 100 kanak-kanak daripada empat pusat jagaan terpilih turut dirai.

"Setiap pusat jagaan berkenaan masing-masing menerima sumbangan cek bernilai RM5,000 daripada pihak hotel," katanya pada Majlis Berbuka Puasa, Makan Malam Amal dan Penyerahan Cek oleh Projek 'Embrace The Gift of Life' Hotel Shangri La, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan cek kepada 11 penerima, wakil empat pusat jagaan dan juga sumbangan duit raya kepada penghuni pusat jagaan berkenaan.

Empat pusat jagaan terbabit adalah Tasputra Perkim, Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Taman Megah, Pusat Jagaan Kasih Jagaan Kasih Harapan dan Persatuan Kanser Kebangsaan.

Berita Harian X