Khamis, 15 Jun 2017 | 9:11pm

Skuad B-22 atasi Guangzhou Evergrande

DATUK Ong Kim Swee. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara menutup kempen Jelajah China penuh bergaya apabila menewaskan pasukan simpanan Guangzhou Evergrande, 3-0 pada aksi di Pusat Latihan Bola Sepak Baining, Guangzhou, petang tadi.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee mempamerkan peningkatan apabila meraih kemenangan dalam aksi terakhir itu selepas tewas 1-0 kepada skuad B-22 China pada aksi pertama dan mengikat pasukan simpanan Guangzhou R&F 2-2 pada aksi kedua.

Skuad B-22 yang turun dengan barisan kesebelasan utama terbaik terpaksa menunggu sehingga minit ke-38 untuk membuka jaringan menerusi penyudah kemas penyerang Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew.

Bersambung di babak kedua, skuad Projek Sukan SEA 2017 itu langsung tidak menunjukkan tanda untuk mempertahankan kelebihan satu gol apabila kerap mengasak kubu Guangzhou Evergrande.

Penyerang Kedah, Syafiq Ahmad meledak gol kedua pada minit ke-77 sebelum N Thanabalan memastikan kemenangan pelawat dengan gol ketiga seminit sebelum perlawanan tamat.

Secara keseluruhan, skuad B-22 meraih satu kemenangan, satu seri dan satu tewas dengan meledak lima gol serta bolos tiga dalam tiga perlawanan yang diharungi di China itu.

Kim Swee ketika dihubungi mengakui berpuas hati apabila tiga perlawanan persahabatan yang diatur di China itu berjaya menepati matlamatnya.

"Saya dapat melihat semua pemain yang dibawa ke China dapat diturunkan untuk beraksi. Cuma pada hari ini ada beberapa pemain utama tidak bermain, namun pemain gantian mampu beraksi baik.

"Satu petanda positif apabila barisan pertahanan berjaya mengekang asakan untuk mengelak daripada dibolosi sementara jentera serangan mempamerkan gerakan yang cukup efektif.

"Namun, kita tidak boleh terlalu selesa dengan keputusan ini kerana banyak lagi aspek yang perlu dipertingkatkan," katanya yang mahu pemain mengekalkan prestasi pada aksi bertemu Melaka United (MU), 22 Jun ini.

Berita Harian X