Khamis, 15 Jun 2017 | 10:49pm

Ayah janji hendak beli baju raya - Anak


TENGKU Puan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskadariah menenangkan anak Mejar Yazmi Mohd Yusuf, Mikail Adam Riaz, 11 ketika tiba di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) . - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: "Ayah janji hendak beli baju raya bila dia ada sini," kata Mikhail Adam Riaz, 11, anak sulung kepada Mejar Yazmi Mohamed Yusof yang terkorban dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Chukai, Kemaman, Terengganu, pagi tadi.

Ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, Milkhail Adam Riaz, berkata kali terakhir beliau bertemu ayahnya ketika mereka bersahur bersama-sama awal pagi tadi.

"Selepas itu, kami tidur dan kemudiannya solat subuh bersama-sama...ayah menjadi imam seperti biasa setiap kali balik ke Kuantan (Yazmi bertugas di Nombor 6 Skuadron Pangkalan Udara Labuan) dan ayah tidak menunjukkan apa-apa perubahan.

"Dia tidak ada ada pesan-pesan yang pelik..cuma dia ada kata hendak membawa adik beradik membeli baju raya untuk menyambut Aidilfitri," katanya ditemui selepas menerima lawatan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Mengulas lanjut, Milkhail Adam Riaz berkata, beliau berhasrat untuk mengikut jejak langkah ayahnya sebagai juruterbang pesawat pejuang dan sering mengingati nasihat daripadanya.

"Kalau boleh saya hendak kerja macam ayah saya.... dia beri banyak tunjuk ajar dan nasihat," katanya.

Allahyarham Yazmi meninggalkan seorang isteri, Noor Shafora Izwa Mohd Hilmi dan enam anak iaitu Mikhail Adam Riaz; Mukhriz Anwar Riaz, 10; Muaz Addin Riaz, 7; pasangan kembar, Mika Adden Riaz dan Mika Addin Riaz,4 dan Musa Ayman Riaz tiga tahun.

Sementara itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut berkenan mencemar duli menziarah jenazah Yazmi dan Mejar Mohd Hasri Zahari yang maut dalam nahas pagi tadi.

Mayat mereka ditemui 20 meter antara satu sama lain dengan payung terjun masing-masing kira-kira jam 2.30 petang tadi di kawasan berpaya di Kampung Sungai Ibok, Chukai, Kemaman, Terengganu.

Berita Harian X