Jumaat, 16 Jun 2017 | 3:28pm

Khairy tuntut Harimau Muda lebih garang

KHAIRY Jamaluddin bersama Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali ketika sidang media sebelum membuat tinjauan laluan khas masuk untuk atlet sempena temasya Sukan Sea 2017 ke-29 dan Para ASEAN 2017 ke-9 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Biarpun berpuashati dengan prestasi dipamerkan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara di China, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mahu pasukan yang bakal beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) itu mempergiatkan usaha bagi menghadapi temasya yang hanya berbaki kira-kira dua bulan saja lagi.

Semalam, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee menutup tirai siri jelajah ke China dengan meraih kemenangan 3-0 ke atas pasukan simpanan Guangzhou Evergrande dan secara rumusannya melengkapkan tiga perlawanan persahabatan di sana dengan satu kemenangan, satu kekalahan dan satu seri.

"Saya menerima laporan daripada Datuk Ong Kim Swee, beliau agak berpuashati dengan prestasi pasukan kita, namun kita ada kira-kira dua bulan lagi (sebelum KL2017)," kata Khairy kepada media selepas sidang media Pembabitan Jabatan Imigresen dalam temasya KL2017 dan Sukan Para ASEAN, hari ini.

"Saya harap latihan dapat diteruskan dan pemain dapat memberi tumpuan penuh dengan misi Sukan SEA ini.

"Yang penting mereka sampai ke puncak prestasi pada temasya nanti. Apapun, saya lihat jelajah China ini menghasilkan prestasi yang baik dan harap ia dapat dikekalkan," katanya.

Untuk rekod, sebelum meraih kemenangan, skuad Kim Swee tewas tipis 0-1 di tangan pasukan B-22 China pada aksi pertama dan mengikat pasukan simpanan Guangzhou R&F 2-2 pada aksi kedua.

Pasukan B-22 negara selepas ini dijadual akan mengharungi perlawanan persahabatan domestik bersama Melaka United (MU) pada 22 Jun ini.

Berita Harian X