Jumaat, 16 Jun 2017 | 4:01pm

LCT jangka jana RM5.9 bilion dari IPO


MUSTAPA (tengah) bersama Kim Gyo Hyun (empat dari kanan) dan Abdul Rahman (dua dari kanan) semasa acara pelancaran Prospektus Lotte Chemical Titan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengeluar bersepadu olefins dan polyolefins di negara ini, Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT) dijangka menjana RM5.9 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Papan Utama Bursa Malaysia, 11 Julai ini.

Presiden yang juga Ketua Eksekutifnya (CEO), Lee Dong Woo, berkata hasil diperoleh daripada IPO akan dimanfaatkan untuk membiayai operasi pengembangan syarikat di Malaysia dan Indonesia.

Katanya, 83.2 peratus daripadanya akan membiayai sebahagian daripada pembangunan kemudahan petrokimia bersepadu di Indonesia dengan kos kira-kira RM15.5 bilion.

"Projek itu bertujuan meningkatkan pengeluaran ethylene kepada sehingga 1,000 KTA. Selain itu, 10.5 peratus daripada hasil IPO itu juga akan digunakan untuk pembinaan loji polyproylene baharu di Johor untuk meningkatkan pengeluaran kepada 200 KTA.

"Seterusnya, 3.7 peratus lagi hasil IPO akan diperuntukkan bagi menaik taraf pelantar cracker naphta sedia ada bertujuan meningkatkan pengeluaran ethylene, propylene dan BTX," katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus LCT di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran berkenaan adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi LCT, Tan Sri Abdul Rahman Mamat serta Presiden yang juga CEO Lotte Chemical Corporation, Kim Gyo Hyun.

LCT menawarkan IPO pada harga RM8 sesaham membabitkan 740.5 juta saham. Daripada jumlah itu, 684.7 juta saham atau 27.7 peratus diperuntukkan kepada tawaran institusi tempatan dan asing serta pelabur terpilih.

Sebanyak 55.8 juta saham atau 2.3 peratus diperuntukkan kepada tawaran runcit.

Sementara itu, Lee berkata LCT mempunyai lapangan operasi di Malaysia dan Indonesia.

"Kami kini memiliki dan mengendalikan 14 pelantar yang disokong oleh pelbagai kemudahan di lapangan.

"LCT memanfaatkan kemudahan pengeluaran bersepadunya di negara ini dan mengaplikasi kecemerlangan operasi bagi mencapai kestabilan operasi dan penggunaan penuh pelantar yang ada," katanya.

INFO:

*Ditubuhkan pada tahun 1991, LCT adalah pengeluar polyolefins pertama di negara ini dan menerima status 'Pioneer' daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 1995.

75 dibaca
Berita Harian X