Jumaat, 16 Jun 2017 | 4:31pm

Tahap kebersihan premis, tandas kriteria perbaharui lesen


MOHAMMAD Mentek meninjau tandas yang berkonsep baharu di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.Turut hadir Badlisham (kanan) dan Pengurus Besar Kanan Malaysia Airport, Zainol Mohd Isa (kiri). - Foto BERNAMA

SEPANG: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesyorkan hanya pengusaha restoran yang lulus penilaian tahap kebersihan premis, termasuk tandas, boleh memperbaharui lesen perniagaan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohammad Mantek, berkata ia adalah antara cadangan bagi mendorong pengusaha mengambil inisiatif memastikan premis mereka sentiasa bersih.

"Kebersihan tandas sangat penting, ia menunjukkan 'wajah' keseluruhan premis berkenaan, sekiranya tandas restoran itu bersih, sudah tentu penyediaan makanannya juga dijaga," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Konsep Baharu Tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali.

Mohammad berkata, menaik taraf tandas awam adalah salah satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di bawah kementeriannya.

"Melalui NBOS berkenaan kementerian ini diberi tanggungjawab untuk menaik taraf tandas di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana penilaian yang dijalankan sebelum ini mendapati lebih 50 peratus tandas dikawal selia PBT berada di bawah taraf tiga bintang," katanya.

Berita Harian X