Jumaat, 16 Jun 2017 | 11:35pm

Kanak-kanak Rohingya terima sumbangan baju raya

SEBAHAGIAN 97 pelajar Maahad Al Arkan Li Tahfiz Al Quran yang hadir mencuba kelengkapan pakaian raya pada program Sumbangan Bantuan Raya Nasmir Holding Sdn Bhd kepada Anak Yatim Rohingya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
SEBAHAGIAN 97 pelajar Maahad Al Arkan Li Tahfiz Al Quran yang hadir mencuba kelengkapan pakaian raya pada program Sumbangan Bantuan Raya Nasmir Holding Sdn Bhd kepada Anak Yatim Rohingya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

BUKIT MERTAJAM: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 97 kanak-kanak Rohingya dari Maahad Al Arkan Li Tahfiz Al Quran di sini, apabila menerima sumbangan baju raya daripada Yayasan Al Nasmir, hari ini.

Mudir pusat tahfiz berkenaan, Noor Mohamad Khalamiyah, berkata pelajar di pusat tahfiz itu terdiri daripada etnik Rohingya yang kurang berkemampuan dan ada sebahagiannya anak yatim piatu.

Beliau berkata, keadaan pusat tahfiz yang serba kekurangan berikutan masalah kewangan, menyukarkan pihaknya membeli kelengkapan untuk pelajar terbabit.

"Jadi, kami bersyukur apabila ada pihak yang sudi memberi bantuan dan saya anggap ia adalah rezeki mereka.

"Apa yang lebih mengharukan apabila maahad tahfiz ini tidak pernah terpinggir daripada menerima bantuan bulanan dari Yayasan Al Nasmir yang juga anak syarikat Nasmir Holdings Sdn Bhd," katanya ketika ditemui selepas membeli pakaian raya pelajar tahfiz berkenaan di sini, hari ini.

Noor Mohamad berkata, sumbangan yang diterima itu menjadikan sambutan Aidilfitri pelajar maahad berkenaan lebih bermakna.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasmir Holdings, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, seramai 1,500 individu dibantu dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya sepanjang Ramadan ini.

"Antara yang dibantu adalah golongan miskin, ibu tunggal, anak yatim dan pelajar tahfiz terdiri dari anak-anak Rohingya yang sangat memerlukan bantuan serta perhatian daripada syarikat-syarikat korporat di negeri ini," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X